Itulah pengalaman segelintir orang Melayu yang memiliki saka tanpa disedari. Tapi mungkin lebih ramai lagi yang memilikinya tanpa diketahui ia ada hidup di samping kita. Mungkin juga di dalam sepuluh yang ditemui, rupanya sebelas orang yang memiliki saka. Logik tak? Masakan tidak, terlalu ramai yang ada menyimpan saka namun tidak menyedarinya. Kalau masih tidak percaya, ikuti penjelasan seterusnya.

Menurut pengasas Akademik Aura Metafizik, Dr. Jamaluddin Abdul Jalal, saka berpunca daripada dendam iblis kepada manusia. Cara iblis membalas dendam adalah dengan  menyesatkan manusia mengikut kepercayaan penduduk setempat, misalnya penduduk di Nusantara percaya dengan batu kayu pokok, gunung dan busut.  

Sebagaimana yang diketahui sebelum dijadikan manusia, bumi ini telah dihuni oleh golongan jin. Merekalah yang duduk di gunung, batu, kayu, pokok dan busut. Kemudian nabi Adam diutus dan umat manusia menyebar ke seluruh muka bumi. Apabila benda-benda itu disembah secara tidak langsung ia memuja jin.

Disebabkan janji iblis pada Allah untuk menyesatkan manusia seperti yang disebut di dalam surah al-A’raaf ayat 16-17, bermaksud,

Iblis berkata: Oleh sebab  Engkau (wahai Tuhan)  menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Iblis mengajar para jin untuk menguasai dan menyesatkan manusia

Jelas Dr. Jamluddin, dengan alasan itu iblis terus menyesatkan manusia setelah dihalau keluar dari syurga kerana keengganannya sujud pada nabi Adam. Di bumi, iblislah yang mengajar jin bagaimana untuk menguasai manusia. Dialah yang mengajar kepada jin ilmu tentang kebal, kekuatan, pendinding, perdukunan, perbidanan dan rawatan.

Perjanjian dengan jin

Perjanjian manusia dan jin pun bermula. Jin berjanji akan membantu orang yang memujanya termasuklah menjaga rumah keluarga, jadi kebal menjadi pendekar, hulubalang atau orang yang hebat serta luar biasa.

Orang Melayu, apabila ia berdamping dengan jin mereka memberinya nama mengikut tugasan yang diberikan seperti polong, puntianak, hantu raya, toyol dan lain-lain lagi. Tapi sebenarnya itu semuanya adalah jin yang termasuk di dalamnya syaitan dan iblis. Ia jelas disebut di dalam surah al-Khafi ayat 50,

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin maka ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.”

Jin itu pula ada beberapa jenis iaitu yang duduk di langit, tanah, sungai, pokok semuanya berbeza fungsinya. Ada juga orang dahulu-dahulu hendakkan cantik, ketika itulah iblis datang mencucuk dan memberi ilham kepada manusia dalam bentuk mimpi. Maka bermimpilah orang itu berjumpa seorang puteri di Gunung Ledang atau sebagainya.

Maka di dalam mimpi itu dikatakan bahawa ada barang yang disorokkan di satu-satu tempat maka disuruh mengambilnya tapi bersyarat. Apabila syarat itu dituruti, maka jin itu akan meresap ke dalam tubuh dan ia akan bergerak mengikut aliran darah. Rasulullah bersabda,

“Sesungguhnya syaitan itu meresap masuk di dalam diri manusia itu menerusi aliran darahnya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Dari situlah jin membiak di dalam diri anak Adam. Harus maklum bahawa pembiakan jin ini berbeza dengan pembiakan manusia. Jika manusia mesti ada pasangan dan pernikahan baru boleh melahirkan zuriat tetapi jin tidak begitu. Di dalam hadis juga ada disebutkan, jin juga beranak pinak sebagaimana halnya anak Adam bahkan jumlah mereka jauh lebih banyak.

Begitu juga halnya dengan syaitan, mempunyai keturunan dan Allah mengecam golongan manusia yang menjadikan keturunan syaitan sebagai pemimpin. Hal itu secara jelasnya disebut di dalam surah al-Khafi ayat 50,

“..Patutkah kamu mengambil dia dan keturunan-keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (dari Allah) dagi orang-orang yang zalim.”

Jin membiak

“Di situ memang sudah jelas bahawa jin mempunyai keturunan dan beranak pinak. Jin akan membiak apabila terangsang dengan sikap manusia walaupun sekadar mengatakan bersetuju untuk didampingi. Perasaan gembira kita menerima pendamping itu pun sudah cukup untuk menyebabkan jin itu terangsang maka ia membiaklah,” jelas Dr. Jamaluddin yang bukan sekadar mengubat tapi juga mengajar setiap pesakitnya merawat diri sendiri.

Kemudian dia menyambung lagi, jin juga boleh membiak apabila manusia seronok dengan maksiat, terhibur dengan majlis tari-menari, pesta-pesta dan bersorak kegembiraan. Maka ketika tepuk sorak manusia bergema, itulah saatnya jin terangsang dan ia akan membiak. Begitu juga halnya dengan pergaduhan adik-beradik, suami isteri dan perkelahian akan membantu jin. Tenaga atau getaran yang dikeluarkan dari pergaduhan itu akan menyebabkan jin beranak pinak. 

Elakkan dari marah untuk mengelakkan jin dari terus membiak ke dalam badan

Selain itu, sikap, tingkah laku dan perbuatan seharian yang negatif adalah pil kesuburan untuk jin terus membiak. Setiap sesuatu yang disarankan Rasulullah agar jangan marah, bertelagah, tergesa-gesa, waswas dan semua sifat negatif ada sebabnya. Salah satu sebabnya adalah untuk mengelakkan jin itu terus membiak di dalam badan manusia.Wallahu a’lam