HIKMAH disebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu sebenarnya sedikit sebanyak telah memberi rezeki buat kumpulan yang menggelarkan diri mereka, Akustika Ria yang berasal dari Semerah, Batu Pahat.

Jika tidak kerana pandemik Covid-19, mungkin mereka kini sedang giat membuat persembahan jalanan di sekitar Muar, Batu Pahat, Johor dan hentian rehat dan rawat (R&R) Pagoh.

Namun, disebabkan akur dengan keputusan kerajaan yang mahu mengekang penularan wabak Covid-19 di seluruh negeri, kumpulan ini terpaksa menukar haluan dengan membuat persembahan di Facebook (FB) Live.

Siapa sangka, kemunculan mereka itu berjaya mencuri perhatian pengguna laman sosial tersebut yang terpersona dengan suara dan gaya persembahan yang disampaikan.

Bagi pemuda berambut kerinting, Mohamad Shafiq Selamat,27, keunikkan kumpulannya yang memakai kain pelikat setiap kali membuat persembahan juga antara daya tarikan kenapa mereka diminati.

Dalam masa sama, Shafiq atau Wak Jeng, mahu memaparkan elemen suasana dan aktiviti di kampung kepada penonton FB Live.

“Kami mula buat FB Live ini selepas pendapatan mulai terjejas dek kerana PKP yang membataskan kami mengadakan persembahan jalanan.

“Tak sangkalah, percubaan pertama pada tahun lalu ketika mula membuat FB Live, kami terima banyak respon positif. Objektif kami selain nak berhibur, orang yang menonton kami di media sosial juga dapat melihat aktiviti dan suasana di kampung.

“Kami pilih untuk buat ‘live’ dan bermain muzik di rumah sebab di sini sahaja yang kami rasa lebih sesuai dan selesa untuk bersiaran di FB pada waktu malam, setiap hari kecuali Isnin dan Khamis,” katanya.

WAK Jeng juga berbakat dalam penghasilan lagu

Selain Wak Jeng yang bertindak sebagai pemain gitar serta vokalis, Akustika Ria turut dianggotai oleh ibunya, Asnah Ali,59, yang bermain tamburin, isteri Nurul Fatihah Nawi,25, (pemain shaker), abang sulung, Mohamad Sahri Selamat,29, (pemain bass), kakak ipar, Nurliyana Mohd. Faudzi,28,(vokalis), adik ipar, Mohd, Fhariz Mohd. Jofri,28, (pemain gitar) dan sepupu, Mohd. Fauzi Haron,33, (pemain dram).

Sementara itu, pemilihan lagu irama 60-an dan 70-an yang diperdengarkan kepada penonton sebenarnya sudah menjadi ‘makanan’ mereka sepanjang dua jam bersiaran langsung di media sosial.

“Kami pilih untuk bersiaran pada waktu malam sekitar pukul 10 malam kerana memikirkan ketika itu ramai yang ingin berehat dan mahukan hiburan sebelum melelapkan mata. Selain itu, irama lagu klasik sekitar tahun 60-an, 70-an, lagu rakyat dan ketuhanan menjadi keutamaan kami untuk menghiburkan peminat.

“Alhamdulillah, setakat ini di ruangan komen ramai yang suka dengan pemilihan lagu-lagu yang dibawakan. Malah, sesekali ada juga kami tunaikan permintaan peminat yang mahu kami menyanyikan lagu pilihan mereka ketika bersiaran langsung di FB,” katanya ketika dihubungi URTV.

Dalam pada itu, menurut Wak Jeng yang berbakat dalam menghasilkan lagu berkata, dia kini dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah album yang mengandungi 10 buah lagu hasil ciptaan sendiri.

“Sasaran kami selepas ini nak buat album. Setakat ini, lima buah lagu telah disiapkan. Kami buat album ini di studio rakaman sendiri dengan menggunakan peralatan yang sedia ada.

“Bidang muzik ini adalah kerja sepenuh masa saya, jadi memang saya dan ahli Akustika Ria serius dalam pembikinan album yang berkonsepkan ala-ala kumpulan Indonesia, Wali Band.

“Kami ketengahkan lagu berunsur nasihat, ketuhanan dan memberi mesej positif kepada pendengar yang membeli album kami itu nanti,” kongsinya lagi.

Artikel berkaitan : [VIDEO] Lagu PKP Wak Jeng tarik perhatian netizen

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi