KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,731 kes baharu COVID-19 dan 15 kematian berkaitan virus itu dilaporkan hari ini di seluruh negara.

Perkembangan terbaru ini menjadikan jumlah kes positif setakat ini berjumlah 242,452 kes manakala jumlah kumulatif kematian pula sebanyak 872 kes.

Selangor, Johor dan Kuala Lumpur terus melaporkan kes tertinggi dengan Selangor sahaja mencatatkan 1,606 penularan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes sembuh  daripada COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 190,339 kes apabila 3,369 kes sembuh lagi direkodkan hari ini.

“Jumlah keseluruhan kes aktif COVID-19 dengan kebolehjangkitan dalam negara pula 51,241 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, lapan adalah kes import melibatkan empat rakyat Malaysia yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 3,723 kes melibatkan 1,946 warga tempatan.

Dr Noor Hisham berkata  seramai 292 orang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 140 daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.

Kes kematian hari ini kesemuanya melibatkan warganegara iaitu lapan lelaki dan tujuh wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 94 tahun dengan 14 daripada mereka berpenyakit, katanya.

Beliau berkata Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,606 kes, diikuti Johor dengan 499 kes dan Kuala Lumpur (372 kes).

Dalam pada itu, tujuh kluster baharu dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif kini ialah 441 dengan 81 daripadanya mencatatkan pertambahan kes hari ini.

Beliau berkata daripada tujuh kluster baharu itu, tiga membabitkan tempat kerja iaitu Kluster Tapak Bina Lembah Selatan dan Kluster Jalan Bagan di Selangor, serta Kluster Jalan Gangsa Dua (Johor), manakala dua kluster melibatkan komuniti iaitu Kluster Seruas (Sarawak) dan Kluster Taman Segar (Perak).

Dr Noor Hisham berkata Kluster Lorong Mawar di Perak pula melibatkan aktiviti keagamaan dan satu lagi kluster baharu ialah kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Ampang Campuran di Selangor.