Wahyu ertinya memberitahu kepada seseorang akan sesuatu yang penting. Manakala wahyu kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. adalah penerimaan perintah-perintah dan juga nasihat serta panduan dari Allah S.W.T.

Wahyu juga diturunkan kepada rasul-rasul sebelum Baginda s.a.w. Berdasarkan apa yang disebutkan oleh Baginda s.a.w. terdapat empat cara bagaimana ia sampai kepada Nabi s.a.w. iaitu:

Pertama, wahyu itu dimasukkan oleh malaikat ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. tidak melihat sesuatu melainkan hanya beliau merasa bahawa wahyu itu tiba-tiba telah berada dalam hatinya.

Beliau sendiri pernah menyatakan hal “Ruhul Qudus mewahyukan ke dalam kalbuku”. Firman Allah dalam surah as-Syura: 51,

“dan tidak ada Allah berkata-kata dengan seseorang melainkan dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizinnya.”

Kedua, malaikat Jibril menampakkan dirinya kepada Baginda s.a.w. berupa seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafaz benar akan kata-kata tersebut.

Ketiga, malaikat menampakkan dirinya kepada Baginda s.a.w. tetapi tidak berupa seorang lelaki, malah benar-benar seperti rupanya yang asli. Ini disebutkan dalam al-Quran surah an-Najm ayat 13 dan 14,

“Dan sesungguhnya, dia (Muhammad) telah melihatnya (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (iaitu) di Sidratil Muntaha.”

Keempat, wahyu datang kepadanya seperti nyaringnya bunyi loceng. Keadaan inilah yang sangat sukar dialami oleh Nabi. Ada kalanya peluh keluar dari dahinya walaupun pada musim sejuk.

Kadang kala pula, unta yang sedang beliau tunggang terpaksa berhenti kerana merasa sangat berat waktu wahyu datang. Dalam hal ini Zaid bin Tsabit ada meriwayatkan dengan katanya,

“Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Baginda s.a.w. Ketika turunnya wahyu seakan-akan diserang demam yang keras dan keringatnya memancar seperti permata. Kemudian apabila selesai turun wahyu, beliau pulih seperti keadaan biasa.”