ANALISIS

Penulis tidak tahu apa reaksi yang mahu diberikan apabila membaca kenyataan bersama tiga setiausaha parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa sering membangkitkan isu pilihan raya.

Kata mereka, ‘’amat jelas rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesaikan isu pandemik dan ekonomi.’’

Cuba fikir dengan tenang, dari celah mana PH mahu mendapat majoriti bagi membolehkan mereka kembali memerintah. PH hanya tiga parti iaitu PKR, DAP dan Amanah. Kalau dicampurkan jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki mereka hanya ada 92 kerusi. Majoriti mudah adalah 112 kerusi daripada 222 kerusi.

Mereka tidak boleh bergantung kepada parti Pejuang mahupun Warisan. Kedua-dua parti itu tidak mungkin akan bergabung dalam PH, selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr.Mahathir Mohamad tidak mencapai kesepakatan siapa akan menjadi Perdana Menteri.

Dr.Mahathir tidak akan beri Anwar menduduki jawatan itu begitu juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal. Itu belum lagi mengambil kira perpecahan yang berlaku dalam Amanah apabila didakwa wujud dua kelompok. Satu kelompok menyokong Anwar dan satu kelompok menyokong Dr.Mahathir.

Justeru apa logiknya tiga setiausaha tersebut mahu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kembali mandat rakyat yang didakwa mereka masih terpakai sehingga 2023. Betul mereka merenang PRU-14 tetapi mandat itu sudah berkubur apabila mereka berbalah sesama sendiri sehingga akhirnya Kerajaan PH tumbang pada Februari tahun lalu.

Lagipun mandat itu sudah tidak relevan kerana gabungan PH yang menggunakan logo PKR dalam PRU-14 sudah berpecah. Bersatu yang turut menyumbang kemenangan PH sudah tidak lagi berada pakatan itu. Jadi macam mana nak serahkan kembali mandat kepada PH, mereka tidak cukup majoriti.

Adakah mereka masih lagi mempercayai bahawa Anwar mempunyai majoriti kukuh untuk menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri? Jangan lupa, majoriti Anwar itu turut dikaitkan dengan beberapa ahli Parlimen UMNO yang ada antaranya secara diam-diam membuat surat menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi Perdana Menteri.

Tetapi isu itupun sudah senyap. Yang dikaitkan dengan surat sokongan berkenaan bukan sahaja semakin rancak menyerang Kerajaan PN tetapi juga turut mendesak supaya pilihan raya umum diadakan, maksudnya kembali mandat kepada rakyat.

Oleh itu adakah ketiga-tiga Setiausaha parti gabungan PH tersebut masih bermimpi mereka mempunyai cukup majoriti untuk menjadi kerajaan semula?

Lagipun apa salahnya pilihan raya diadakan selepas pandemik Covid-19 reda seperti mana dijanjikan oleh Muhyiddin? Takut apa? Adakah PH takut tidak akan mendapat sokongan dalam pilihan raya tersebut? Sepatutnya tumpuan diberikan kepada usaha memerangi Covid-19 bukannya dok kemaruk mahu berkuasa semula dengan alasan ia mandat yang diterima pada 2018.

Ingatlah juga, PH menang PRU-14 dahulu bukan kerana mereka kuat tetapi kerana nasib sahaja. Kata orang, berada di tempat yang betul pada masa yang betul (Right place at the right time) itu sahaja. Masa itu rakyat tengah marah dengan Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan skandal 1MDB, masa itu rakyat begitu menyanjung Dr.Mahathir, masa itu rakyat tengah ‘geram’ dengan GST.

Jadi apabila PH bersetuju bersama Dr.Mahathir pada masa itu, maka tercetuslah gelombang yang meranapkan pemerintahan hampir 61 tahun UMNO dan Barisan Nasional, itu sahaja.

Tetapi dalam tempoh 22 bulan, PH memerintah rakyat sudah melihat sejauh mana kemampuan pakatan berkenaan. Lebih malang, mereka jatuh bukan kerana orang lain tetapi idola mereka yang meletakkan jawatan.

Lagipun masuk akal ke, nak tukar kerajaan semasa pandemik Covid-19 sedang ‘menggila’? Biarlah Kerajaan PN uruskan pandemik itu sehingga selesai, lepas itu bertarunglah untuk mendapat mandat rakyat, bukannya tengah kekalutan wabak tersebut, dok ‘meroyan’ lagi pasal mandat yang dirampas.

Sama ada benar mandat dirampas atau tidak, sama ada betul tidak rakyat masih mahu PH kembali memerintah, biarlah segala-galanya ditentukan dalam PRU-15. Bukannya minta mandat dikembalikan macam kita nak salin baju.

Apa jaminan PH boleh mengawal pandemik Covid-19 lebih baik daripada kerajaan sedia ada? Apa jaminan kestabilan ekonomi mahupun politik boleh pulih jika PH kembali memerintah? Entah-entah keadaan menjadi lebih teruk lagi.

Bercakap memang mudah, mengkritik memang senang, tetapi dahulu masa ada kuasa 22 bulan, kelam kabutnya bukan kepalang.

Justeru tidak payahlah membuang masa bercakap soal politik pada masa ini. Kalau tak nak bantu kerajaan tangani pandemik Covid-19, tak apalah… duduklah diam-diam, tunggu sahaja Parlimen dibubarkan. Itu lebih baik.