KUMPULAN Voices of Euphonius atau lebih popular dengan panggilan V.E mengumumkan dua anggotanya, Shah dan Damian secara rasmi telah mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.

Perkara tersebut disahkan melalui satu hantaran di laman sosial Instagram kumpulan berkenaan, @voiceofeuphonius.

Malah, menerusi kapsyen yang ditulis, mereka akan turut menutup akaun media sosial tersebut dan telah membuka akaun yang baharu.

“Notis. Akaun ini bukan lagi ‘official’ Instagram untuk V.E 2021. Damian dan Shah dengan rasminya telah mengundur diri dan bukan lagi ahli V.E.

“V.E akan buka akaun baru dengan ahli lain, Zaf, Cham, Adeep dan Hakim. Boleh ikut akaun Instagram V.E terbaharu @_veofficial untuk info terkini V.E.

“Semoga perjuangan diteruskan dan dipermudahkan. Terus sokong dan doakan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Damian berkata, pengunduran dirinya adalah untuk memberi tumpuan kepada keluarga, bisnes serta beberapa projek lain yang diusahakan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat semua yang telah menyokong saya sepanjang karier seni daripada 1994 sehinggalah sekarang.

“Saya telah melalui pelbagai fasa di dalam perjalanan seni dan antara faktor yang telah banyak mematangkan saya adalah bila bersama kumpulan @voiceofeuphonius.

“Alhamdulillah, setiap benda yang baik pasti akan ada penamatnya. Tapi setiap penamat merupakan permulaan untuk fasa kita seterusnya.

“Saya kini berada di dalam satu fasa hidup yang memerlukan 100% masa dan fokus saya terhadap tanggungjawab kepada bisnes persendirian, keluarga, saya sebagai seorang suami dan bapa.

“Oleh itu…Disaat usia kita semakin meningkat ini, adalah amat penting untuk saya memberikan fokus dan masa terhadap saham akhirat saya nanti,” katanya.

V.E kini tinggal berempat

Tambah Damian lagi, pengundurannya daripada kumpulan terbabit atas keputusannya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh pihak lain.

Malah, dia turut mendoakan ahli anggota kumpulan lain untuk teruskan perjuangan V.E.

“Saya, Damian Mikhail secara sukarela telah mengambil keputusan untuk mengundur diiri daripada V.E dan berharap mereka yang masih ada meneruskan perjuangan selagi boleh.

“Hanya doa dan ucapan terbaik untuk V.E. Saya akan terus menyokong dan mendoakan mereka sukses di dalam perjuangan mereka.

“Segala ilmu dan memori-memori perjuangan pahit serta manis bersama sahabat saya tidak akan saya lupa. Terima kasih untuk pengalaman yang indah.

“Semoga Allah merahmati apa sahaja yang kita lakukan pada masa hadapan,” luahnya di entri Instagramnya.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi