BARU-BARU ini tular pekerja syarikat kurier J&T melempar barangan ketika bertugas kerana tidak berpuas hati dengan majikan. - Gambar Internet

KUALA LUMPUR – Laman Facebook sebuah syarikat kurier dibanjiri komen netizen yang meluahkan rasa marah dan kecewa dengan apa yang berlaku susulan ‘video lempar barang’ yang tular sejak semalam.

Video memaparkan pekerja mereka membaling barangan yang dikirim menggunakan perkhidmatan syarikat itu nyata membangkitkan rasa amat kurang senang pengguna.

Selain, mempersoalkan kelewatan penghantaran barangan yang dikirim, orang ramai juga membangkitkan mengenai barangan yang dilempar itu.

“Tolong bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Antara anda dan staff, selesaikan dengan kadar segera.

“Sampai bila pelanggan harus menunggu. Habis semua barang dibuang, dibaling begitu saja,” kata seorang pengguna media sosial bernama Has Nah.

Difahamkan, selain bebanan tugas berikutan peningkatan jumlah barangan untuk dihantar ke penerima dalam tempoh beberapa minggu ini, terdapat isu dalaman membabitkan insentif antara pengurusan dan pekerja.

Selain itu, ada netizen meninggalkan komen mengenai kerisauan mereka barangan yang dilempar mungkin barangan sangat bernilai seperti komputer riba.

“Kami beli untuk kegunaan anak-anak guna duit simpanan yang bertahun-tahun simpan.

“Jangan senang-senang buang begitu. Kenalah ambil tanggungjawab,” ujar pemilik akaun Hairil.

Tidak terkecuali, pemilik akaun Jet Chai mempersoal pengurusan syarikat itu yang sehingga kini membisu dengan video tular itu.

“Apa kenyataan pengurusan? Mana boleh berdiam diri. Itu barangan pengguna,” katanya.