SETIAP kejayaan yang diraih, pastinya dibelakang kita ada insan yang tidak pernah berhenti berdoa. Insan dimaksudkan itu, siapa lagi kalau bukan ibu bapa kita sendiri.

Bagi penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha dia mempunyai cara tersendiri untuk membalas pengorbanan ibu bapanya yang selama ini membesarkan dirinya dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah.

Menurut Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, pemberian kereta berjenama Mercedes Benz itu juga merupakan hadiah sempena ulang tahun perkahwinan orang tuanya pada November lalu.

“Saya menempah kereta itu sejak Disember tahun lalu dan alhamdulillah akhirnya dapat membuat kejutan untuk ibu dan bapa saya semalam sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka.

“Gembira sangat dapat buat mereka terharu dan bahagia,” ujarnya.

Kredit foto : Instagram Daiyan Trisha

Dedah penyanyi On My Way itu lagi, dia meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk membelikan sebuah kereta buat individu yang paling disayanginya.

Katanya lagi, dia enggan menunggu lama kerana tidak tahu apa akan berlaku pada keesokan hari.

“Alhamdulillah, disebalik Covid-19, tahun lepas Allah limpahkan saya dengan banyak rezeki.

“Jadi saya fikir buat apa tangguh kalau untuk ibu bapa. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk buat mereka rasa bahagia sebab kita tidak tahu apa akan terjadi pada hari mendatang.

“Alhamdulillah, dah sampai dekat tangan papa dan ‘mummy’. Buatlah apa sahaja yang boleh membalas budi mereka. Tak akan pernah cukup, tapi setidaknya kita cuba,” katanya di Instagram.

Sementara itu di ruangan komen, ramai yang memuji peribadi Daiyan yang begitu pemurah dan tidak lokek dalam mengeluarkan belanja besar untuk membahagiakan darah daging sendiri.