Ayam, keldai dan anjing. Tiga jenis haiwan ini disebut dalam hadis supaya apabila kita mendengar suara haiwan-haiwan ini pada waktu tertentu, kita dianjurkan untuk berdoa.

Dari Abu Hurairah, katanya Nabi s.a.w. bersabda,  “Apabila kamu mendengar kokok ayam maka mohonlah kurnia kepada Allah kerana ayam itu (berkokok) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar teriakan keldai maka berlindunglah kepada Allah daripada gangguan syaitan kerana keldai itu melihat syaitan.”(HR Muslim)

Manakala satu hadis lagi yang disebut oleh Abu Daud, “Ketika kamu mendengar salakan anjing dan rengekan keldai pada waktu malam hendaklah kamu meminta kepada Allah kerana mereka nampak apa yang manusia tidak nampak.”

Jika disebut tentang anjing, ramai yang tahu jika ada bunyi lolongan anjing di tengah malam, ia dikaitkan dengan hantu. Bukan saja hantu, tetapi anjing juga melihat iblis, jin dan syaitan. Bagaimana pula dengan ayam?

Seperti yang disebut dalam hadis, bahawa ayam boleh melihat malaikat. Justeru, apabila mendengar kokokan ayam, kita digalakkan untuk berdoa untuk kebaikan. Begitu juga ketika mendengar rengekan keldai dan lolongan anjing, kita digalakkan berdoa memohon perlindungan daripada gangguan syaitan.

Makbul Doa Semasa Ayam Berkokok

Para saintis Arab pernah menjalankan kajian untuk melihat perbandingan kemampuan mata manusia berbanding dengan ayam. Kajian itu mendapati, mata manusia hanya boleh melihat sinaran yang tertakluk di dalam spektrum cahaya tampak, sekadar jarak gelombang cahaya antara 380-750nm (nanometer) sahaja.

Berlainan dengan haiwan dari kategori burung (termasuk ayam) yang mempunyai kebolehan untuk melihat sinaran yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar manusia. Ayam mempunyai kebolehan untuk  melihat sinaran ultra violet yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia.

Mata ayam mampu melihat sinaran yang tidak dapat dilihat mata kasar manusia.

Ayam boleh melihat sinaran ultra violet 300-400nm manakala kemampuan manusia melihat adalah pada jarak gelombang 380-750nm. Struktur retina mata ayam membolehkan ia melihat lebih banyak warna yang tidak mampu dilihat oleh manusia.  

Mengikut kajian itu, ultra violet sifatnya sejuk berbanding dengan infra red yang bersifat panas. Jika difikirkan malaikat dijadikan daripada nur (cahaya), ia bersifat sejuk dan gelombangnya terletak di dalam gelombang ultra violet. Jadi, memang benar ayam boleh melihat malaikat kerana kedudukannya berada pada gelombang ultra violet.

Secara fitrahnya, kita tahu ayam akan mula berkokok menjelang dinihari. Pada kebiasaannya kokokan itu saling bersahut-sahutan bermula dari pukul 2.00 pagi hingga matahari terbit.

Dari Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah turun ke langit dunia setiap malam iaitu ketika telah lewat sepertiga malam pertama. Lalu Allah berfirman, “Akulah Tuhan! Akulah Tuhan! Siapa yang memohon kepada Ku, Ku perkenankan  permohonannya. Siapa yang meminta kepada  Ku, Ku beri dia. Dan, siapa yang memohon ampun kepada Ku, Ku ampuni dia. Begitulah seterusnya hingga terbit fajar.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis itu jelas mengatakan bahawa lewat sepertiga malam itu adalah saatnya malaikat berada di bumi. Namun itu bukan bermaksud pada waktu lain malaikat tidak ada di bumi.

Cuma, ketika saat hening sepertiga malam itu adalah masa yang digalakkan untuk bangun solat tahajud dan bermunajat, kerana malaikat juga turun pada waktu itu untuk mengaminkan doa orang yang beriman. Ia bagaikan tip kepada kita waktu yang paling baik untuk doa dimakbulkan.

Ketika ayam berkokok itu tandanya malaikat berada di bumi untuk mengaminkan doa kita. Malaikat adalah antara orang yang paling dekat Allah. Maka, doa yang diaminkan oleh malaikat akan terus disampaikan kepada Allah.

Teriakan Keldai Dan Lolongan Anjing 

Kajian yang dijalankan oleh seorang pakar perubatan Mesir, Dr. Hesham Ahmed Taha, telah menjawab mengapa keldai dan anjing boleh nampak syaitan.  

Dari kajian yang dijalankan, keldai dan anjing tergolong dalam kategori haiwan yang boleh melihat sinar infra red. Sinar ini terletak pada jarak gelombang panjang 750nm sehingga 1 milimeter. Manakala syaitan yang pernah dikaji oleh saintis juga berada dalam kelompok gelombang infra red. Sebab itu tidak mustahil jika keldai dan anjing boleh melihat syaitan. Ini kerana syaitan, iblis dan jin itu dijadikan daripada api.

Mata anjing dan keldai mampu melihat sinaran infra red.

Sebab itu juga ayam jantan tidak boleh melihat syaitan kerana penglihatannya berada pada gelombang pendek. Manakala keldai dan anjing tidak boleh melihat malaikat kerana penglihatannya berada pada gelombang panjang.

Seperti yang disebutkan di dalam hadis di atas, sewaktu kita mendengar teriakan keldai ataupun lolongan anjing, maka kita dianjurkan berdoa memohon kepada Allah agar dilindungi daripada gangguan syaitan, jin dan iblis yang sentiasa cuba menyesatkan manusia.