Pada 14 Jun 2012, kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan di pinggir Laut Hitam di Sozopol, Bulgaria telah menemukan tanpa sengaja dua rangka manusia berusia lebih 800 tahun dalam keadaan sangat misteri.

Masyarakat di sana percaya rangka-rangka yang dijumpai itu merupakan puntianak kerana setiap kerangka tersebut tertanam batang besi dalam dada mereka. Rangka itu ni dijaga rapi oleh National History Museum di Sofia, Bulgaria.

Kedua-dua rangka manusia itu ditemui dalam keadaan dada mereka ditusuk dengan batang besi berupa seperti paku besar. Sebelum itu, lebih 100 mayat serupa turut dijumpai di seluruh Bulgaria. Antaranya, rangka manusia berusia berabad-abad lamanya ditemui di Veliko Tarnovo dalam keadaan diikat. Empat penyepit besi dan pembakar bara turut diletakkan di atas kubur si mati.

Manakala, enam rangka lagi berusia abad ke-4 dan ke-5 berjaya dikesan di perkampungan Debelt, berhampiran Sozopol, pada tahun 2004. Kesemuanya dikebumikan dalam keadaan menyeramkan kerana tengkorak, lengan dan kaki mereka dipaku.

Menurut catatan, amalan menanam mayat cara begini telah digunakan oleh orang-orang Bulgaria pada zaman dahulu untuk membunuh puntianak. Disebabkan itu juga, berita penemuan kerangka ini membuat ramai penduduk Bulgaria menjadi risau.

Mereka bimbang jika roh jahat yang disebut puntianak itu akan bangkit dan mengganggu penduduk di situ. Lantaran itu, ada sesetengah penduduk takut untuk keluar rumah pada waktu malam. Malah, ada sebahagiannya pula mengambil keputusan berpindah keluar dari kawasan penemuan kerangka tersebut.

Daripada penemuan itu, ia jelas menunjukkan masyarakat Bulgaria sangat percaya kepada kewujudan puntianak, iaitu makhluk penghisap darah. Kepercayaan karut ini dikatakan sudah wujud sejak abad ke-12 lagi. Bahkan, sebahagian penduduk Eropah turut mempercayai perkara yang sama.

Rangka yang ditanam dengan cara aneh begini banyak ditemui di pinggir kota Bulgaria.

Berdasarkan kepercayaan orang-orang terdahulu, manusia yang berperangai buruk dan pernah melakukan perbuatan jahat akan menjadi puntianak selepas meninggal dunia. Mereka juga percaya, hanya logam atau kayu yang ditusuk di bahagian dada si mati satu-satunya cara untuk  menghalang kebangkitan mayat daripada menjadi makhluk penghisap darah. Atas sebab itu, mereka meneruskan amalan ngeri ini sehingga abad ke-20.

Mayat-mayat kerap ditikam dengan besi di bahagian dada mereka sebelum dikebumikan di beberapa bahagian wilayah di Bulgaria. Mereka percaya cara ini akan membuat mayat terpelihara daripada menjadi puntianak. Tidak akan bangun dari kubur pada waktu malam dan mengganggu manusia.

Puntianak sangat digeruni oleh masyarakat Bulgaria kerana penyelidik menyifatkan vampire dalam tradisi rakyat Bulgaria digambarkan sebagai makhluk jahat dan seseorang yang sangat tua. Biasanya diberi makan darah haiwan dan sering menyerang manusia. Selain itu, ada juga yang memberi deskripsi makhluk berkenaan sebagai kotor, bongkok dan bermata satu. 

Kerana mayat seperti itu sangat ditakuti, kebanyakan keluarga si mati memutuskan untuk menanam mereka di kawasan yang jauh dari bandar. Sebab itulah kenapa kerangka seumpama itu sering ditemui di pinggir-pinggir kota.

Kerangka ini antara bukti kepercayaan pelik dan tahyul dari sisa-sisa peninggalan nenek moyang masyarakat Bulgaria. Biarpun ada penduduknya yang bimbang kerana masih percayakan kisah karut itu, tetapi dari sudut lain penemuan arkeologi tersebut telah memberi kesan positif ke atas industri pelancongan di Bulgaria.