PENYANYI dan penulis lirik berbakat besar, Nur Fatima kini kembali menghangatkan arena muzik tanah air setelah memenangi tempat keempat dalam pertandingan Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Kini, dia muncul dengan single terbaharu berjudul Galeri bergandingan dengan penyanyi rap wanita, Kayda yang merupakan anak kepada ratu jazz, tanah air, Datuk Sheila Majid.

Bercerita mengenai lagu Galeri, Nur berkata, ia mengisahkan tentang seseorang yang telah berpisah daripada pasangannya dan sedang dalam proses untuk ‘move on’ , akan tetapi percampuran emosi yang dihadapinya menyukarkan proses tersebut apabila menatap gambar-gambar mereka ketika bersama di sosial media ibarat sebuah galeri, membangkitkan memori silam.

“Meneruskan kehidupan setelah berpisah adalah sesuatu yang sukar tetapi perlulah reda dengan apa yang terjadi dan belajar daripada perpisahan tersebut.

“Pada single kali ini Nur membawa kelainan dengan membawakan genre balada pop dengan elemen hip-hop yang disampaikan oleh Kayda kerana beliau mempunyai suara rap yang bagus, bertenaga dan sekaligus membawa aura yang lebih moden kepada lagu Galeri,” katanya.

Galeri ditulis dan digubah oleh komposer-komposer hebat antaranya Omar K, Audi Mok, Altimet, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga.

Bercakap soal pembikinan lagu tersebut, kata Nur, proses rakaman, suntingan dan adunan mengambil masa selama dua minggu di Studio Enormus milik Omar K.

“Memandangkan Nur dan Omar K pernah bekerjasama sebelum ini, jadi agak senang dan cepat proses rakaman tersebut dijalankan kerana beliau sudah tahu tahap kemampuan dan kebolehan suara Nur dari segi skala vokal dan stail nyanyian. Selain dapat berkenalan dengan komposer-kompser baru yang muda serta berbakat, menjadikan ia sebuah pengalaman manis.

“Kami (Nur dan Kayda) melakukan proses rakaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang berlangsung sebelum Nur pulang ke pangkuan suami di Canberra, Australia, sambil mematuhi SOP yang ditetapkan dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” ulasnya.

Nur Fatima kini menetap di Canberra selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Jeffrey Wain Wright.

Mengulas lanjut mengenai video muzik Galeri, dedah Nur, memandangkan isu Covid-19 yang masih berlaku, ia memberi inspirasi kepadanya dan pihak pengurusan untuk mengolah dalam bentuk animasi, walaupun tidak menggambarkan keseluruhan jalan cerita lagu tersebut ia lebih menghiburkan kerana kelainan yang ditonjolkan.

Meskipun namanya tidak asing lagi, Nur atau nama penuhnya Nur Fatimah Abdul Wahab, 38, turut sedar industri muzik kini semakin berkembang mengikut trend semasa dan ada pasang surutnya.

“Untuk kekal dalam industri bukannya mudah, lebih-lebih lagi apabila kalau dinilai dari segi populariti kerana ada naik dan turunnya.

“Kita perlu mengikut peredaran masa dan keutamaan saya lebih kepada keluarga namun dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada pihak pengurusan, akhirnya saya muncul kembali ke persada tanah air dan saya tahu saya perlu bekerja lebih keras lagi.

“Saya harap semoga Galeri mendapat sambutan dan sokongan daripada semua peminat yang sudah lama tertunggu buah tangan baru dan semoga ia mendapat tempat di hati penggemar muzik tempatan.

Galeri boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music,. Manakala video muziknya pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Warner Music Malaysia.