DI SEBALIK kesukaran hidup yang dialui akibat pandemik Covid-19, kita tetap mahu berjaya. Berjaya dalam perniagaan yang baru diceburi, dalam kerjaya yang menghendaki kita melakukan pelbagai tugas (multi-tasking), mempelajari kemahiran baru, menyesuaikan diri dengan bos baru dan sebagainya.

Sebenarnya, tidak kiralah  dalam kehidupan bermasyarakat, keluarga, pekerjaan mahu pun pergaulan, kita semua boleh berjaya. Dengan syarat, buang pemikiran negatif.

Apakah yang dikatakan corak pemikiran negatif? Cendekiawan psikologi berkata, pemikiran negatif mempunyai enam corak yang dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai:

          * Anxious thinking. 

          * Depressed thinking. 

          * Obsessive thinking. 

          * Narcissistic thinking. 

          * Masochistic thinking 

          * Detached thinking.

Keenam-enam corak pemikiran negatif ini tidak akan membina keperibadian individu malah akan merugi dan menggagalkannya dalam kegiatan-kegiatan sosial serta kehidupan yang total.

Anxious thinking yang disebutkan dalam bahasa Melayu sebagai pemikiran kalut bermaksud bahawa seseorang itu gemar melihat halangan dan bahaya yang akan ditempuhinya sebagai sesuatu yang sukar untuk dihadapi dan diatasi. Dengan kata lain, manusia yang mempunyai corak pemikiran itu gerun dengan masalah yang merasakan sulit untuk menghadapinya. Contoh: Belum pun cuba memulakan perniagaan baru sudah mengalah dan berasa takut dengan kerumitan yang bakal dilalui.

Depressed thinking disebut dalam bahasa Melayu sebagai pemikiran tertekan atau kecundang. Individu yang mempunyai corak pemikiran begini merasakan ia tidak mempunyai kelayakan dan kemahiran untuk hidup tenteram dan rukun damai. Dia merasakan dirinya serba kekurangan dan berasa susah untuk ke luar daripada pola pemikiran yang seumpama itu.

Obsessive thinking disebut dalam bahasa Melayu sebagai pemikiran taasub yang mana menyaksikan seseorang itu memerangkap diri dalam pusingan pemikiran negatif yang tidak lojik dan jauh daripada kenyataan. Mereka membayangkan masalah secara melampau dan berantai, sedangkan semua itu tidak mungkin berlaku.

Narcissistic thinking yang disebut dalam bahasa Melayu sebagai pemikiran yang asyik. Individu yang berfikiran begini selalunya memberi keutamaan pada dirinya. Pemikiran asyik ini mendorong seseorang lebih cenderung untuk meletakkan dirinya di tahap yang paling utama. Apa pun langkah dan tindakan yang akan dilakukan semestinya berputar pada diri dan kepentingan dirinya. Perkataan paling mudah, syok sendiri dan pentingkan diri.

Masochistic thinking disebut dalam bahasa Melayu sebagai pemikiran masocistik yang bererti seorang itu mendapat kepuasan daripada kesakitan dan penderitaan. Pemikiran seumpama itu sekiranya terhala kepada pihak lain merupakan cara pemikiran yang bersifat jenayah. Contohnya seorang bapa suka melihat anaknya menangis sebelum mendapat wang atau hadiah daripadanya atau seorang ketua yang berasa puas apabila dapat membuli pekerja di bawah seliaannya.

Detached thinking dikenali sebagai pemikiran tersendiri yang membawa erti bahawa seseorang itu lebih yakin bahawa tindakannya secara persendirian adalah lebih afdal dan baik daripada berkongsi dan bermuafakat. Tamak, tidak tahu manfaat bekerja secara berpasukan.

Jika semua corak pemikiran di atas menjadi pegangan anda, maka anda akan terus gagal. Melihat orang lain serta persekitaran dengan pandangan yang buruk, prasangka dan negatif akan menjadikan hidup ini bertambah sulit. Ini suatu bentuk poemikiran yang berbahaya.

Ingat, hidup ini singkat. Jangan cari musuh, tapi carilah sahabat. Binalah jalan untuk menang, bukan untuk kalah. Hanya ada satu corak pemikiran yang dapat membantu anda berjaya iaitu corak pemikiran yang positif. Buang enam, ganti dengan satu.