KUALA LUMPUR – Kerajaan memutus untuk membenarkan semua perniagaan dalam sektor peruncitan untuk kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula esok, termasuk kebenaran makan di restoran untuk dua orang setiap meja.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Kabinet semalam, bagi memastikan kelangsungan ekonomi peniaga kecil.
Antara sektor peruncitan yang dibenarkan kembali beroperasi termasuklah kedai pakaian dan fesyen, aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga, alat permainan, permaidani, alatan sukan, kosmetik, peralatan dapur, aksesori kenderaan, Ar-Rahnu.

Sebelum ini kerajaan sudah membenarkan beberapa segmen peruncitan tertentu beroperasi dalam PKP dan pengumuman hari ini adalah baki yang belum dibenarkan.
“Tetapi, kebenaran yang diberikan bukannya dibuat sewenang-wenangnya kerana kita berpandukan kepada data-data yang diperolehi daripada agensi terlibat seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, daripada data-data yang perolehi, kerajaan juga berpendapat sektor ini bukan penyumbang kepada kluster COVID-19 dan kerajaan juga mengambil kira ramai yang bekerja di sektor ini, hilang punca pendapatan kerana perniagaan tidak beroperasi.
Antara SOP baru yang diperkenalkan kepada kedai pakaian ialah pemilik premis perlu menyediakan sarung tangan pakai buang kepada pelanggan untuk memilih pakaian.
Bagi kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, hanya aktiviti jual beli sahaja dibenarkan. Rundingan secara bersemuka serta penggunaan ‘cosmetic testers’ adalah tidak dibenarkan.
Bagi kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi, penggunaan studio hanya melibatkan seorang pelanggan dan jurugambar sahaja. Penggunaan studio penggambaran (kecuali perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen) adalah tidak dibenarkan.
Berikut ialah butiran terperinci kedai-kedai yang boleh dibuka beserta dengan SOP yang perlu diikuti:
Sektor-sektor tersebut adalah:
o Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
o Kedai Kasut
o Kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi
o Kedai barangan terpakai
o Kedai bunga/ nurseri
o Kedai kraftangan dan cenderahati
o Kedai antik
o Kedai alat permainan
o Kedai permaidani
o Kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif
o Kedai outdoor
o Kedai peralatan sukan
o Barangan rumah dan peralatan dapur
o Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi
o Kedai tembakau
o Kedai aksesori kenderaan
o Restoran (dine-in)
o Ar-Rahnu
SOP am bagi pembukaan sektor-sektor ini adalah seperti berikut:
o Proses nyah kuman dan pembersihan dilaksanakan tiga kali sehari dalam tempoh operasi.
o Mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka (face mask) semasa berada di dalam premis.
o Pelanggan dengan suhu 37.5ºC dan ke atas tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam premis.
o Hand sanitizer disediakan di pintu masuk dan dipastikan penggunaannya sebelum masuk ke premis.
o Memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis.
o Memastikan kehadiran pekerja dan pelanggan direkodkan secara manual atau aplikasi MySejahtera.
o Penjarakan fizikal 1 meter semasa berada di premis.
o Menghadkan bilangan pelanggan berada di premis pada satu-satu masa.
o Digalakkan membuat bayaran secara elektronik – UtusanTV