Ketahui tanda Epilepsi dan sawan. Wanita ini kongsi cerita anak diserang epilepsi sejak usia lima bulan

0
402

Menurut terjemahan portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), “Epilepsi” berasal daripada perkataan Greek “epilambanien” yang membawa maksud “serangan”. Perkataan ini digunakan untuk menerangkan keadaan di mana serangan sawan yang berterusan berlaku tanpa sebarang rangsangan luar. Epilepsi juga sering dikenali sebagai “sawan babi”.

Penyakit ini berlaku disebabkan oleh sel-sel otak yang tidak berfungsi dengan baik. Terdapat arus elektrik kecil yang berlaku semasa sel otak berfungsi.  Apabila aliran elektrik ini menjadi tidak stabil, berlaku gangguan seperti “short circuit” dan sawan akan berlaku.

Manakala sawan pula disebabkan oleh rangsangan tertentu seperti demam yang tinggi, kadar gula yang rendah di dalam darah, selepas kecederaan kepala, apabila terdapat pendarahan di dalam otak atau pun apabila mendapat jangkitan kuman di otak.

Sempena Hari Epilepsi Sedunia pada 8 Februari, Hasniza Hassan menerusi laman Facebook berkongsi kisah anaknya, Sarah, pengidap Epilepsi sejak berusia lima bulan.

Jelasnya, kekerapan epilepsi yang berlaku kepada anak menyebabkan dia dan suami mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali serangan berlaku bagi mengelakkan rongga pernafasan tersekat dengan objek.

Ikuti perkongsiannya.

“Baru perasan hari ni Hari Epilepsi Sedunia.

“Anak kak Has yang kedua, Sarah, ada epilepsi atau sawan yang kerap sejak umurnya 5 bulan setengah. Waktu mula-mula jadi memang blur. Sebab kak Has tak pernah tengok orang sawan.

“Masa tu badannya seakan lembik dan bibirnya sedikit kebiruan. Tapi sekejap saja. Selang beberapa jam jadi lagi dan bertambah banyak kali. Terus kami berkejar ke hospital. Ingat lagi tarikhnya 30 Mei 2003.

“Dari situ, bermula episod ulang alik ke hospital dan berumah di sana. Macam-macam test dah buat. MRI otak saja 3-4 kali, test darah, EEG, lumbar puncture, 24 hours urine test, hantar sampel darah sampai ke Australia dan UK, semuanya masih tak tau puncanya.

“Kak Has ingat lagi betapa takutnya rasa bila dengar doktor kata masa Sarah sawan dia berhenti bernafas. Kak Has pernah tanya doktor adakah sawan ini boleh menyebabkan kematian. Tak terbayang dan tertanggung perasaan.

“Ada beberapa fakta tentang epilepsi yang perlu difahami:

  • Epilepsi dan sawan tak semestinya sama. Seorang yang mengalami sawan tak bermaksud dia ada epilepsi.
  • Sekiranya seseorang mengalami sawan lebih dari 2 kali, baru dikatakan ada epilepsi.
  • Epilepsi tak berjangkit.
  • Epilepsi bukan penyakit gila.
  • Epilepsi tak semestinya menyebabkan kematian namun kecederaan atau kemalangan semasa epilepsi boleh membawa maut.
  • Kebanyakan penghidap epilepsi boleh menjalani kehidupan normal dan ke sekolah seperti biasa. Cuma kena berjaga-jaga dan menjauhi aktiviti seperti memandu dan terjunan udara.

Sawan atau epilepsi ini juga ada beberapa jenis:

1. Sawan setempat yang berlaku disebabkan kejadian aktiviti tak normal di salah satu kawasan otak. Gejalanya seperti berasa gembira secara tiba-tiba atau marah atau sedih dan boleh berlaku samada dalam keadaan sedar atau tak sedar.

2. Sawan menyeluruh yang berlaku akibat kejadian aktiviti tak normal di kedua-dua belah otak. Tandanya seperti tak sedar diri, jatuh, kejang otot yang teruk, mulut berbuih dan kancing gigi.

“Bagi Sarah sendiri, epilepsi yang dihidapinya jenis sawan menyeluruh dan adalah simtom kepada underlying cause yang masih tak diketahui secara tepat.

“Bila terjadi, kami kena pastikan Sarah dalam keadaan baring mengiring, rongga pernafasannya tak tersekat oleh muntah atau makanan dan monitor tempoh terjadinya sawan. Biasanya dalam 1 minit sawannya berakhir.

“Begitulah cabarannya menjaga anak yang mengalami epilepsi. Kebimbangan itu sentiasa ada di hati. Namun kita akan lebih tenang bila serahkan semuanya kepada Allah yang Maha Mengawasi. Pasti ada hikmah di sebalik aturan Allah ini.”

#diarimama

#diariSarahNurLiyana

Sumber : Hasniza Hassan