Firdaus ditahan Julai tahun lalu kerana menyokong kumpulan pengganas Daesh.

SINGAPURA – Singapura menahan seorang lelaki warga Malaysia yang bekerja di republik ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong kumpulan pengganas Daesh pada Julai tahun lalu, dedah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu kenyataan hari ini.

Turut ditahan ialah isteri lelaki yang bekerja sebagai pekerja pembersihan itu, seorang rakyat Singapura yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Berita.mediacorp.sg melaporkan, ISD berkata,  wanita tersebut dipengaruhi oleh suaminya yang taksub dengan fahaman radikal dan wanita tersebut dikenakan Arahan Sekatan (RO) selama dua tahun.

Warga Malaysia tersebut, Mohd Firdaus Kamal Indtzam bagaimanapun sudah dihantar pulang setelah selesai siasatan ISD manakal isterinya pula, suri rumah dan asatizah sambilan Ruqayyah Ramli.

Firdaus,  33, ditahan di bawah ISA pada Julai 2020 setelah siasatan mendapati dia menyokong kumpulan pengganas ISIS.

Dia mula menjadi radikal sejak 2016 apabila dia cuba mendalami ilmu agama dengan mencari maklumat di Internet namun sebaliknya dia menemui propaganda Daesh.

“Menerusi pendedahan berterusan kepada bahan-bahan yang pro-Daesh, Firdaus semakin taksub dengan propaganda kumpulan yang mendakwa bahawa ia berjuang untuk Islam dan mewajarkan penggunaan keganasan untuk membentuk sebuah wilayah Islam,” kata ISD.

Pihak berkuasa itu berkata, sokongan Firdaus terhadap Daesh tetap teguh meskipun setelah kumpulan pengganas itu hilang pengaruh dan tumbang di Syria dan Iraq.

“Dia secara aktif memuat naik bahan-bahan yang menyokong ISIS dan jihad bersenjata ke akaun-akaun media sosialnya,” dedah ISD lagi.

Ketaksuban Firdaus terhadap Daesh begitu tinggi sehinggakan dia menggantung bendera kumpulan itu di rumahnya pada Mac tahun lalu sebagai tanda taat setianya kepada kumpulan tersebut.

Firdaus juga berhasrat untuk membawa isterinya ke Syria untuk berjuang bersama Daesh.

Malah dia juga sanggup mati di medan pertempuran demi Daesh dan bersedia melancarkan serangan ke atas negara-negara yang dianggapnya “menzalimi Muslim, atau yang dianggapnya sebagai munafik kerana menyokong negara-negara Barat”.

ISD menambah bahawa, siasatan yang dijalankan dengan kerjasama Cawangan Khas Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemui tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Firdaus sudah membuat sebarang rancangan khusus untuk menyerang atau melancarkan sebarang tindakan pengganas di Singapura.

Selepas selesai menjalankan siasatan, Pas Kerja Firdaus ditarik balik dan dia dihantar pulang ke Malaysia dan diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu pada Ogos 2020.

Siasatan ISD mendapati bahawa isteri Firdaus, Ruqayyah, 34, mula terpengaruh dengan fahaman tegar suaminya berkaitan Daesh sejak pernikahan mereka pada Disember 2018.

Meskipun pada awalnya mempunyai keraguan, Ruqayyah kemudian semakin terpengaruh dengan ideologi Daesh yang menyifatkan keganasan terhadap apa yang dianggap oleh kumpulan itu sebagai penindasan ke atas Islam adalah sesuatu yang wajar.

“Ruqayyah juga menyokong hasrat Firdaus untuk menganggotai Daesh dan berjuang di Syria. Dia sanggup menemani suaminya dan membawa kedua-dua anak mereka sekali.

“Dia yakin peranannya di zon konflik adalah dengan menjaga keluarga (dengan memasak dan melakukan kerja rumah) dan membantu anggota lain Daesh yang cedera,” kata ISD.
 ISD menambah siasatan tidak menunjukkan bahawa Ruqayyah cuba menyebarkan ideologi pro-Daeah kepada orang lain.

Pengiktirafan ARS Ruqayyah, yang diluluskan pada September 2017, sudah ditarik balik dan dia tidak lagi dibenarkan untuk mengadakan sebarang kelas agama sebagai sebahagian daripada syarat-syarat di bawah Arahan Sekatan (RO) selama dua tahun bermula Ogos 2020.

Menurut ISD lagi, Ruqayyah sedang menjalani kaunseling untuk menjauhkannya daripada fahaman radikal.