Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Alumni Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEP&A) hari ini melancarkan laman sesawang Alumni Information Management System (AIMS).
AIMS merupakan sistem pangkalan data yang mengandungi maklumat alumni daripada era Sultan Idris Teaching College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) dan era terkini Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, usaha ini bertepatan dengan keperluan perhubungan antara dua entiti sekaligus mewujudkan jaringan kerjasama berterusan antara alumni dengan pihak UPSI.
“Sebagai tonggak kepada institusi pendidikan negara, pihak Universiti mengalu-alukan cadangan inisiatif daripada setiap peringkat pengurusan merealisasikan hasrat pendidikan negara untuk memacu Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi. Inisiatif yang dilaksanakan Pusat Alumni JHEP&A UPSI dengan membangunkan pangkalan data bekas pelajar yang dikenali sebagai alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) dilihat bertepatan dengan keperluan perhubungan antara dua entiti sekaligus mewujudkan jaringan kerjasama berterusan antara alumni dengan pihak UPSI.
“Saya menyeru kepada seluruh alumni AKSB daripada kesemua era untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat terkini dalam laman sesawang AIMS yang telah dibangunkan oleh pihak universiti sebagai salah satu tanggungjawab alumni terhadap alma mater. Setiap pendaftaran baru adalah percuma,” katanya kepada media.
AIMS adalah salah satu platform alumni untuk mendapatkan maklumat perkembangan terkini universiti selain memberi kemudahan kepada pihak universiti menyediakan data sebagai saluran untuk penanda aras seperti penarafan QS World Universiti Ranking.
Alumni AKSB boleh mendaftar dan mengemaskini maklumat di laman sesawang www.aims.upsi.edu.my bermula hari ini. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh hubungi pihak Pusat Alumni menerusi talian +6015 – 4879 7052 atau emel [email protected]