Pada Januari 1896, Evelina Marmon melahirkan seorang bayi perempuan di asrama tempat tinggalnya di Cheltenham, England. Bayi itu adalah hasil hubungan terlarang.

Evelina yang berusia 25 tahun hanya seorang pelayan bar. Dia sayang anaknya itu, tetapi sukar untuk dia membesarkan anaknya seorang diri. Tambahan pula pada zaman itu, wanita yang hamil tanpa berkahwin akan dicemuh dan dipinggirkan.

Kebetulan  dia terlihat iklan dalam surat khabar. Pengiklan bernama Mrs. Harding, mengiklankan khidmatnya menjaga anak-anak luar nikah atau yang tidak bernasib baik. Pada zaman itu, banyak perkhidmatan sebegini disediakan. Mereka menawarkan khidmat menjaga bayi-bayi luar nikah atau yang tidak bernasib baik dengan bayaran tertentu.

Evelina menghubungi Mrs. Harding. Pertemuan diatur. Penghujung Mac 1896, Mrs.Harding datang ke tempat Evelina untuk mengambil bayinya. Dengan berat hati, Evelina terpaksa melepaskan Doris yang baru berusia empat bulan ke tangan Mrs.Harding untuk dijaga dengan bayaran $10 pound.

Evelina berjanji, sampai masanya setelah dia kehidupannya stabil, dia akan mengambil semula Doris. Cuma, dia tidak tahu bahawa saat dia menyerahkan Doris ke tangan wanita itu bersama sekotak pakaian bayi, itulah kali terakhir dia melihat anaknya masih bernafas.

Siapa Mrs. Harding?

Nama sebenarnya ialah Amelia Elizabeth Dyer, lahir pada tahun 1837. Beliau bekas jururawat, pernah berkahwin namun berpisah dan mempunyai dua orang anak.

Amelia, pembunuh bersiri kanak-kanak.

Amelia dikenali sebagai pembunuh bersiri prolifik dalam sejarah era zaman Victoria Britain. Beliau mengiklankan khidmat mengambil anak angkat untuk bayi-bayi yang tidak mahu dijaga ibu mereka dengan bayaran tertentu. Namun, bayi-bayi yang diambilnya bukan dijaga, sebaliknya dibunuh kejam!

Apa jadi dengan Doris, anak Evelina tadi?

Amelia yang menggunakan nama samaran Mrs. Harding menaiki kereta api, membawa Doris ke Paddington, London. Dia pulang ke rumahnya di Mayo Road. Turut tinggal di rumah itu ialah Polly, gadis berusia 23 tahun iaitu salah seorang anak Amelia.

Sampai di rumah, Amelia mengambil pita putih yang sering digunakan dalam pembuatan baju. Pita itu kemudian dilingkarkan ke leher Doris, lalu diketatkan dengan kuat dan disimpul mati.

Doris, bayi yang berusia empat bulan itu hanya mampu terbeliak, tercungap-cungap dengan wajah kemerahan sebelum beberapa minit kemudian, bayi itu terkulai layu, mati.

Kedua beranak itu kemudian membungkus mayat Doris di dalam kain. Keesokan harinya pada 1 April 1896, Amelia keluar semula dan pulang. Kali ini dengan membawa seorang lagi bayi lelaki berusia 13 bulan, Harry Simmons.

Sama prosesnya seperti semalam, namun kali ini Amelia kehabisan tali pita. Lalu dia menanggalkan pita yang masih terlekat pada leher mayat Doris, lalu digunakan untuk menjerut leher Harry pula.

Sungai Themes di mana Amelia mencampakkan mayat kanak-kanak yang dibunuhnya.

Keesokan harinya, Amelia membungkus kedua-dua mayat bayi itu di dalam sebuah beg yang turut diisi batu sebagai pemberat. Dia membawa beg itu ke sebuah kawasan empangan di Reading, lalu mencampakkan beg itu ke dalam sungai Thames, sungai utama yang mengalir di selatan England.

Sewaktu membuang mayat kedua-dua kanak-kanak tersebut, Amelia tidak tahu kegiatan kejamnya itu sudah mula terbongkar. Sebelum itu pada 30 Mac, sebuah bungkusan aneh ditemui di sungai Thames. Ia berisi mayat bayi perempuan yang kemudian dikenal pasti sebagai Helena Fry.

Lakaran Amelia Dyer dan mangsanya.

Siasatan polis membawa mereka ke rumah Amelia dan akhirnya menahan wanita itu pada 4 April. Hasil siasatan mendapati, wanita ini telah lama melakukan perbuatan kejam ini dan sering berpindah randah. Dianggarkan Amelia telah membunuh lebih 300 kanak-kanak sepanjang lebih kurang sedekad dia  menjalankan kegiatan ini.

Dalam bulan April itu juga, enam lagi mayat lain ditemui di sungai tersebut, termasuk dua mayat terakhir yang dibunuhnya iaitu Doris dan Harry Simmons. Bayi-bayi yang ditemui semuanya masih mempunyai pita putih yang mengikat leher mereka, yang disebut Amelia sebagai ‘tanda pengenalannya’.

Amelia Dyer

Daripada penemuan mayat itu, polis menghubungi Evelina untuk pengecaman mayat Doris. Luluh hati ibu muda itu apabila melihat bayi yang baru ditinggalkannya  kembali kepadanya berupa mayat yang sudah kembung.

Mahkamah tidak mengambil masa yang lama untuk mendakwa Amelia. Juri hanya mengambil masa empat setengah minit untuk mendapati Amelia bersalah dan dijatuhi hukuman mati.

Mahkamah mengambil waktu tidak sampai lima minit untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap Amelia.

Sepanjang menunggu tarikh dia akan digantung di penjara, Amelia sempat menulis antara jenayah yang dilakukannya dalam beberapa buah buku.

Dia akui turut menggunakan Kordial Godfrey atau nama lainnya Mother’s Friend untuk membunuh. Bayi yang minum kordial ini akan menjadi senyap dan perlahan-lahan mati.

Pada 10 Jun 1896, Amelia Dyer digantung hingga mati.