Pertama: Ata’ bin Rabah berkata kepada Ibn Abbas,

“Mahukah kamu aku beritahu tentang seorang wanita calon syurga?’  Ibnu Abbas menjawab, “Ya. Aku mahu” Ata’ bin Rabah berkata lagi,” Wanita hitam inilah orangnya. Dia pernah datang menghadap Rasulullah dan berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah! Aku sering diserang penyakit pitam hingga tidak sedarkan diri, sehingga terbuka auratku. Oleh kerana itu tolonglah doakan kepada Allah untuk diriku ini.”

Maka Baginda bersabda, “Jika engkau bersabar, aku jamin engkau bakal masuk syurga, dan jika engkau mahu, aku akan pohonkan dirimu kepada Allah supaya Dia menyembuhkan penyakitmu.” 

Maka perempuan itu menjawab, “Baiklah saya akan tetap bersabar. Cuma yang saya pohon agar aurat saya tidak terbuka waktu saya terkena pitam.” Maka Rasulullah pun mendoakannya.”  HR Bukhari dan Muslim. 

Setiap ujian yang Allah berikan akan dibalas dengan kebaikan dan diampunkan dosanya.

Kedua: Abu Said al-Khudri r.a. menjelaskan bahawa orang-orang Ansar meminta sesuatu kepada Rasulullah maka Baginda pun memberikannya. Mereka meminta lagi, Baginda memberinya lagi sehingga habislah semua yang Baginda miliki.

Pada saat Baginda tidak memiliki apa-apa lagi Baginda bersabda, “Jika sekiranya aku masih memiliki yang lain tidak akan aku sembunyikan daripada kamu. Barang siapa yang menjaga diri, maka Allah akan menjaganya.  

Barang siapa yang meminta kaya, maka Allah akan menjadikannya kaya, barang siapa yang meminta sabar, maka Allah menjadikannya orang yang sabar. Sesungguhnya tidak ada yang lebih berharga dari pemberian Allah kepada seseorang, kecuali kesabaran.”   HR Bukhari dan Muslim.

Ketiga. Dari Abi Hurairah r.a. menjelaskan, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Cubaan apa pun yang diberikan Allah kepada orang Islam, sama ada berupa kepayahan, kesakitan, kesedihan dan sebagainya, bahkan hingga duri mencucuk kakinya, maka Allah akan menebus kesalahannya dengan ujian tersebut.” HR Muslim

Keempat: Musa al-Asyari berkata, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Tiadalah musibah yang menimpa diri seorang hamba sehingga kakinya tersepak batu, atau lebih berat atau lebih ringan dari itu, maka ada pengampunan dosa untuknya, bahkan amat ramai orang yang dimaafkan kerana itu sebagaimana firman Allah,

Dan apa sahaja musibah yang menimpa dirimu, maka yang demikian itu adalah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu.” Al-Syura: 30. 

Allah memberikan ujian sakit dan kembali sihat dengan digantikan daging dan darah yang lebih baik dan diampunkan kesalahannya.

Kelima: Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatta’ meriwayatkan sebuah hadis dari Ata’ bin Yasar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Bila seorang hamba sakit, maka Allah mengutus dua malaikat kepadanya. Kepada malaikat tersebut Allah berfirman, “Dengarkanlah apa yang dikatakan oleh hamba-Ku ini  kepada orang yang datang melihatnya, jika dia memuji-Ku, maka  beritahukanlah hal itu kepada-Ku sedangkan Allah Maha Mengetahui semuanya itu.” Allah kembali berfirman, 

Bagi hamba-Ku itu bila Aku matikan, ia akan aku masukkan ke dalam syurga, jika dia Aku sihatkan, maka Aku gantikan dagingnya dan darahnya dengan yang lebih baik dari yang semula dan Aku ampunkan semua kesalahannya.” 

Keenam: Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari menjelaskan, Allah berfirman,

Tidak ada balasan bagi hamba Ku yang tabah, pada saat Aku mengambil sesuatu yang dicintainya dari ahli dunia, maka tiada pahala lain untuknya kecuali syurga.” 

Ketujuh: Abu Malik al-Haris bin Asim al-Asy‘ari r.a. berkata telah bersabda Rasululullah s.a.w, 

“Kebersihan itu adalah sebahagiaan dari iman, al-Hamdulillah, pahalanya memenuhi timbangan, ucapan Subhanallah, walhamdulillah, pahalanya memenuhi langit dan bumi, solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti, kesabaran adalah pelita dalam kehidupan, al-Quran adalah hujah bagimu atau atas dirimu.” HR Muslim.