Penularan wabak pandemik Covid-19 memberi kesan kepada banyak industri perniagaan terutamanya sektor perhotelan.

Banyak hotel terpaksa gulung tikar hingga mengakibatkan ramai pekerja hilang sumber pendapatan ekoran terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,

Demi menjamin survival dan kelangsungan, hotel RHR Kajang telah mengambil inisiatif menjual makanan di hadapan premis mereka bagi menjana pendapatan.

Hotel RHR Kajang menjual makanan di luar bangunan hotel bagi menjana pendapatan.

Menurut pengurus hotel RHR Kajang, Azlan Su Abdullah, ketiadaan pengunjung yang menginap dihotel merupakan faktor utama inisiatif ini dijalankan.

“Tidak dinafikan, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sektor perhotelan antara industri yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Walaupun pendapatan hotel RHR Kajang terkesan akibat pandemik Covid-19, kami masih mampu bertahan dan setakat ini tiada pekerja yang diberhentikan untuk mengurangkan kos operasi.

“Inisiatif menjual makanan dihadapan hotel adalah salah satu cara untuk menjana pendapatan lain berikutan jualan bilik penginapan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 ketika ini,” kata Azlan ketika ditemui UtusanTV.

Pengurus hotel RHR Kajang, Azlan Su Abdullah (kiri) turut berdiri ditepi jalan bagi menarik perhatian orang ramai untuk singgah ke jualan makanan dihadapan hotel RHR Kajang.

Selain menjana pendapatan, hotel RHR Kajang juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati makanan citarasa hotel pada harga yang sangat murah.

“Disini kami menawarkan juadah sarapan ‘Grab & Go’ dengan harga yang sangat berpatutan. Dengan harga bermula RM2.00, pengunjung akan dapat menikmati hidangan rasa hotel tetapi dengan harga warung.

“Antara makanan dan minuman yang dijual adalah seperti nasi lemak, mee hoon goreng siam, mee goreng kampung jawa, teh tarik, nescafe Tarik, milo panas, latte, cappuccino, mocha dan banyak lagi,” cerita Azlan tentang jualan makanan sarapan yang ditawarkan bermula pukul 7.30 sehingga 10.30 pagi itu.

Harga makanan dan minuman untuk sarapan yang sangat berpatutan.

Selain itu, RHR Kajang turut menawarkan pakej ‘Park & Dine’ untuk sarapan, makan tengah hari dan malam dimana pelanggan dapat menjamu selera di dalam kenderaan masing-masing di tempat letak kereta dihadapan hotel.

Untuk maklumat lanjut boleh kunjungi RHR [email protected] di Wisma MKH, Jalan Semenyih, Kajang, Selangor atau hubungi talian, 03-87375555.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi