30 hari PKP, kes baru di Sabah turun tapi Selangor masih empat angka

0
377

KUALA LUMPUR – Hari ini, genap 30 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri iaitu Selangor, Johor, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Bagi sebahagian negeri berkenaan, jumlah kes baharu menampakkan penurunan berbanding sebelum pelaksaannya berkuat kuasa 13 Januari lalu.

Namun bagi Selangor seperti mana lazimnya, jumlah kes baharu kekal empat angka.

Tidak terkecuali hari ini apabila negeri yang mempunyai enam juta penduduk itu merekodkan 1,082 kes baharu COVID-19.

Malah angka itu merupakan satu pertiga daripada keseluruhan penularan baharu yang direkodkan di seluruh negara yang berjumlah 3,384 kes.

Kedua tertinggi hari ini ialah Johor dengan 777 kes diikuti Kuala Lumpur, 435 kes, Pulau Pinang (228 kes), Sarawak (184 kes) dan Pulau Pinang, 144.

Sabah yang pada awal pelaksanaan PKP antara tiga negeri tertinggi paling banyak kes baharu hari ini berada pada kedudukan ketujuh dengan 142 kes baharu.

Baca artikel berkaitan: PKP di enam negeri bermula Rabu – PM

PKP di seluruh negara mulai Jumaat kecuali Sarawak

Sementara itu, menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, negara melaporkan 3,774 kes sembuh hari ini iaitu melebihi jumlah kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa sama, sebanyak 13 lagi kematian akibat COVID-19 direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian setakat ini berjumlah 936 orang.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing tiga (3) kes di Selangor dan Sabah, dua (2) kes di Johor dan  Terengganu serta satu (1) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Sarawak.

“Ia melibatkan 11 warganegara dan dua (2) bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat 259 individu positif COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 122 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

KKM juga memaklumkan terdapat 17 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan 13 kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti dan masing-masing satu kluster pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi.

Enam daripadanya dilaporkan di Johor manakala Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing tiga, diikuti Kedah dua dan masing-masing satu di Perak, Sarawak dan Melaka.