Amalan ini boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dari yang seberat-beratnya seperti kanser hinggalah yang paling ringan, pening kepala. Malam adalah masanya badan bertindak menyembuhkan penyakit dengan solat tahajud, ia menguatkan lagi sistem imun.

Tapi, mampukah kita mempercayainya jika tidak ditunjukkan bukti ada hikmah di sebalik sesuatu yang diperintahkan. Di dalam buku Terapi Dan Ibadah yang ditulis oleh Hasan Ahmad Hammam, dijelaskan tentang peranan solat malam sebagai penyembuh penyakit.

Antara lainnya, tahajud dapat mengusir penyakit dari tubuh kerana dengan perlakuan solat itu dapat berfungsi mengurangkan rembesan hormon kortisol khususnya beberapa jam sebelum bangun tidur. Lebih tepat lagi waktunya adalah ketika waktu sahur iaitu sepertiga malam terakhir. 

Keadaan itu boleh mengelakkan berlakunya pertambahan gula di dalam darah secara tiba-tiba yang akan mengancam pesakit diabetes.  Selain, ia juga boleh mengelakkan tekanan darah naik secara mendadak.  Serta menghindari disfungsi otak, serangan jantung, mengurangi risiko pembekuan darah di pembuluh darah mata dan membantu pesakit radang sendi. 

Suasana hening malam adalah saat terbaik mendirikan tahajud. menangis, merintih, dan berdoa kepada Allah s.w.t.

Di samping itu, kematian mendadak yang menjadi perkara biasa pada zaman sekarang juga boleh dielakkan dengan mengamalkan solat malam secara berterusan. Ancaman kematian mengejut kebanyakan disebabkan gangguan denyutan jantung.

Saat mendirikan solat  dalam suasana hening malam ketika semua orang tidur, waktu itu udara segar kerana kurangnya karbon dioksida, jernih, serta tidak banyak gangguan dari gelombang otak yang bercelaru.

Perbuatan yang berulang-ulang berzikir, membaca al Quran, berdoa di waktu dinihari dapat mengaktifkan kembali otak untuk menolak depresi, kegelisahan, risau, awet muda dan mengurangkan penyakit telinga berdengung.

Mampukah kita merasai nikmatnya qiamullail? Masih belum lagi! Kalau begitu apa kata kita tambahkan pengetahuan tentang ajaibnya solat tahajud. Kali ini kajian yang dilakukan memang terbukti menggunakan kaedah moden, penyelidikan makmal dan pemerhatian sampel.

Kajian membuktikannya

Kajian dilakukan oleh Dr. Mohammad Salleh, Pakar Imunologi dan Psikologi Islam, Indonesia ternyata amat menarik di dalam memahami solat tahajud sebagai mukjizat penyembuh penyakit.

Perbincangannya adalah untuk memecahkan persoalan pengaruh solat tahajud terhadap peningkatan gerak balas ketahanan imunologi tubuh.

Dua persoalan penting yang dijadikan asas kepada kajian yang dilakukannya iaitu benarkah solat tahajud dapat menurunkan hormon kortisol dan pada masa yang sama meningkatkan gerak balas ketahanan imunologi tubuh?

Amalan tahajud terbukti secara saintifik menawarkan segala penyakit

Pelajar SMA Luqman Hakim yang tinggal di Pondok Pesantren Hidayatullah Surabaya diambil sebagai sample kajian. Data makmal dikumpulkan berdasarkan pemeriksaan darah, sel darah merah, sel darah putih, isi padu darah sel darah merah, kreatinin, serum glutamis oxaloasetic transminasi dan serum glutamite pyruvate transaminase (sejenis serum di hati).

Apa yang cuba dikaji adalah perubahan sistem imun badan kesan daripada solat tahajud. Atau bolehkah solat tahajud mengatasi masalah kesihatan yang sering dialami oleh pekerja syif malam.

Antara masalahnya adalah gangguan tidur, sakit perut, sakit hulu hati, tidak ada selera makan, badan terasa lemah, keletihan dan gangguan saluran pernafasan. Gangguan itu terjadi kerana fungsi tubuh manusia mempunyai kitaran 24 jam proses fisiologi iaitu meliputi pola waktu tidur, bekerja, rembesan hormon adrenalin dan kortisol, metabolisme, suhu badan, denyutan jantung dan tekanan darah.

Setelah diteliti dan melakukan kajian selama lapan minggu, akhirnya Dr. Mohammad Salleh peroleh apa yang diharapkan. Ternyata, memang benar solat tahajud yang didirikan boleh mengurangkan rembesan kortisol dan meningkat sistem imun badan.

Tahajud menghindar stres

Namun tidak semua solat tahajud yang dilakukan dapat memberikan hasil yang sama dan menjadi penawar kepada semua penyakit. Di situlah ditemui sesuatu yang menakjubkan iaitu peranan niat dan keikhlasan di dalam beribadat. Hanya solat tahajud yang disertai niat yang ikhlas akan menghasilkan rasa senang, tenang, hening, optimistik dan persepsi positif. Tindak balas positif itulah yang dapat menghindarkan daripada stres.

Benar! Solat tahajud boleh menurunkan hormon kortisol dan pengamalnya yang sentiasa istiqamah, khusyuk dan ikhlas akan terhindar stres. Ini bermakna hidup tanpa stres dan jauh daripada penyakit yang disebabkannya termasuk kanser. Ia bukan saja menghilangkan stres malah berjaya memperbaiki sistem imun tubuh.

Solat tahajud terbukti menghindar tekanan, menyihatkan badan dan merangsang fikiran

Bukankah itu cukup menggembirakan? Tanpa stres dan sistem imun yang kuat bermakna tubuh dapat menyembuhkan penyakit yang bersarang di dalam badan dengan sendirinya. Sepatutnya pengamal solat tahajud bukan sekadar mengekalkan badan yang sihat tapi dapat menyembuhkan penyakit tanpa bantuan ubat.

Solat tahajud yang dikerjakan sebanyak 13 rakaat dengan ikhlas dan khusyuk selama lapan minggu dapat menurunkan hormon kortisol. Sesuatu yang menarik tentang kortisol ini, jika terlalu tinggi ia akan bersifat imunosupresif (agen yang mengurangkan rintangan tubuh terhadap jangkitan dengan menindas sistem imun).

Sebaliknya jika rendah, kortisol boleh mempengaruhi proliferasi limfosit (antibodi). Sebab itulah solat tahajud boleh menyembuhkan penyakit kerana kortisol yang rendah akan meningkatkan sistem pertahanan tubuh. Maknanya pengamal yang ikhlas, khusyuk dan istiqamah akan sentiasa sihat dan awet muda.

Niat itu penting

Tapi, mengapa masih ada pengamal solat tahajud masih lagi sakit dan tidak mampu menghilangkan penyakit yang dihidapi. Mengenai hal itu, Dr. Mohammad Salleh memberikan satu ungkapan, solat tahajud yang dibuat tanpa rasa ikhlas, khusyuk dan tidak istiqamah hanya akan menambahkan kesakitan.

Pada ketika itu solat tahajud dianggap sebagai satu beban yang menyebabkan kita gagal menyesuaikan diri dengan perubahan ritma sirkadian. Solat yang dilakukan di dalam keadaan stres boleh menyebabkan gangguan kesihatan seperti batuk, pening kepala, susah tidur hilang nafsu makan dan gangguan pencernaan.

Niat yang ikhlas penting untuk mendapatkan manfaat tahajud secara maksima

Sebenarnya di sinilah letaknya peranan niat, sebab itulah kita sentiasa disuruh melakukan ibadat dengan ikhlas dan khusyuk. Begitu besar keikhlasan itu di dalam makna ibadat sama ada ia memberi manfaat kepada jasmani mahupun rohani.

Ini bukan main-main, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Mohammad Salleh, niat yang tidak ikhlas menyebabkan solat tahajud yang dilakukan hanya membawa kepada penyakit lain.

Pada ketika itu solat tahajud dilakukan di dalam keadaan stres yang secara tidak langsung memicu rembesan kostisol berlebihan. Apabila kortisol berlebihan ia akan bertindak sebagai imunosupresif yang menyebabkan badan tidak boleh menghasilkan antibodi.

Apabila badan tidak boleh menghasilkan antibodi maka daya tahan tubuh akan menurun dan lebih mudah diserang penyakit dan mendapat kanser. Petanda awalnya adalah dengan sakit kepala, batuk, hilang selera makan dan gangguan pencernaan.

Kunci sebenar di dalam ibadat malam adalah ikhlas kerana ia akan melahirkan ketenangan dan membawa penyembuh semula jadi. Namun untuk menikmati kemanisan itu bukan suatu yang mudah.

Dan, Allah Maha Mengetahui akan hal itu maka diturunkan perintah meringankan hukumnya dari wajib kepada sunat. Bertuahlah bagi yang sudah mengamalkannya kerana anda pastinya seorang yang sihat.