Pegawai MAQIS memeriksa daging kerbau import India yang dirampas kerana logo halal tidak diiktiraf./ Gambar Facebook MAQIS P. Pinang

BUTTERWORTH – Isu seludup daging sejuk beku yang diragui halal masih tengah hangat diperkatakan.

Selain disiasat pelbagai agensi, pendakwaan dalam isu tersebut juga telah dilakukan.

Namun, itu semua seakan tidak menggerunkan kartel berkenaan kerana pulangannya sangat lumayan.

Jika beberapa hari lalu tiga kontena daging sejuk beku bercampur aduk antara yang dibawa masuk dari pusat sembelihan diiktiraf dengan tidak dirampas di Puchong, Selangor.

Terbaru, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 335,914kg daging kerbau sejuk beku bernilai RM4.28 juta kerana menggunakan logo halal tidak diiktiraf.

Kejadian tersebut dilaporkan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), pada Isnin dan Selasa lepas.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, pihaknya memeriksa 12 kontena dari India yang membawa 17,370 kotak daging sejuk beku pada 5.30 petang dan mendapati ia menggunakan logo halal tidak diiktiraf.

“Pemeriksaan MAQIS mendapati keseluruhan dagangan tersebut menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia dan kami merampasnya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Daging beku dari India yang dirampas MAQIS kerana dipercayai menggunakan logo halal tidak diiktiraf. Gambar Facebook MAQIS Pulau Pinang

Baca artikel berkaitan: Bukan selori, tapi tiga kontena daging seludup diragui halal dirampas MAQIS

Terbongkar akhirnya, dalang kes kartel daging didakwa 21 tuduhan

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana penggunaan logo yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Zarina berkata, MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.