ETHIOPIA merupakan salah satu negara di bahagian timur benua Afrika. Ia juga dikenali sebagai tapak tamadun terawal di dunia.

Menyorot sistem pemerintahan di negara tertua ini, selama beratus-ratus tahun ia mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Kononnya, raja Ethiopia sejak dahulu adalah dari keturunan Ratu Sheba dan Nabi Sulaiman.

Haile Selassie I adalah raja terakhir dalam sistem pemerintahan monarki di Ethiopia. Beliau mula memerintah pada tahun 1930. Namun, pemerintahannya tidak berjaya, sebaliknya rakyat kian terhimpit dengan kemiskinan.

Kesan daripada itu, mula wujud rasa tidak puas hari terhadap raja terutama daripada golongan tentera. Kemuncaknya, berlaku pemberontakan. Akhirnya, Haile Selassie I digulingkan pada tahun 1974 oleh Derg, kumpulan junta tentera berhaluan kiri. Sistem beraja dibubarkan.

Rejim Derg menggulingkan pemerintahan beraja.

Apabila rejim Derg memerintah Ethiopia, harapan untuk melihat suasana baru terhadap pembangunan rakyat tidak kesampaian. Sebaliknya, berlaku korupsi dan muncul pelbagai kelompok lain yang turut berebut kuasa untuk memerintah Ethiopia.

Akibatnya, meletus perang saudara. Suasana politik Ethiopia semakin parah. Pembunuhan berlaku di mana-mana sahaja. Rakyatnya hidup dalam kesukaran kerana dihimpit kemiskinan.

Pertengahan tahun 1980-an, semasa perang saudara masih menguasai Ethiopia, timbul pula bencana kebuluran.

Keadaan diburukkan dengan bencana kebuluran.

Iklim di negara ini tidak menentu. Di dataran yang rendah, suhu boleh mencapai hingga 50 darjah Celsius dengan taburan hujan yang sangat sedikit. Ketika itu, Ethiopia menderita akibat kemarau yang kian parah. Kebuluran memberi kesan buruk sehingga lebih satu juta nyawa terkorban dan kebanyakannya kanak-kanak.

Keadaan bertambah parah apabila rejim Derg enggan mengirim bantuan makanan ke wilayah yang dilanda kebuluran. Sebaliknya, mereka mengarahkan penduduk berpindah ke wilayah lain yang disediakan pemerintah.

Dikatakan, alasan rejim Derg itu lebih bertujuan untuk mengurangkan sokongan rakyat terhadap puak pemberontak. Kebetulan wilayah yang parah dengan kebuluran adalah kawasan yang menjadi markas pemberontak.

Malah, bantuan kemanusiaan dari pelbagai negara yang dihantar ke Ethiopia tidak dapat disalurkan kepada zon bencana kelaparan. Rejim Derg menghalang bantuan dihantar ke wilayah-wilayah yang menjadi markas pemberontak walaupun rakyat di wilayah itu menderita kebuluran.