KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan membenarkan beberapa aktiviti sukan dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti permainan golf, memancing dan berbasikal disambut baik oleh ahli-ahli sukan dan pengemar kegiatan tersebut.
Kaki golf misalnya mula membanjiri kelab-kelab golf hari ini dan membuat tempahan untuk melepaskan ‘gian’ di padang golf sehinggakan hampir semua kelab golf habis ditempah hari ini hingga Ahad sempena cuti Tahun Baru Cina.
Beberapa kelab golf di Lembah Klang memaklumkan tempahan mula penuh sebaik sahaja Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman mengenai kebenaran itu petang semalam.
Katanya, semua aktiviti ini dibenarkan selepas dilakukan penilaian risiko oleh pelbagai agensi kerana tidak melibatkan sentuhan serta boleh memastikan penjarakan fizikal.
“Hari minggu semua kelab penuh, hanya minggu depan ada kosong,” kata Hasriq, seorang peminat golf yang cuba membuat tempahan bermain golf esok atau Ahad kepada rakan-rakannya melalui grup alikasi media sosial hari ini.
Seorang petugas kelab golf juga memaklumkan disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu hanya seorang pemain dibenarkan menaiki sebuah buggy, maka jumlah pemain yang boleh bermain di satu-satu kelab golf juga adalah terhad.
Beliau berkata, pemain dinasihatkan untuk membuat tempahan awal slot untuk mengelak kesesakan di kaunter jika datang terus ke kelab.
Sejak PKP 2.0 dilaksanakan, kebanyakan aktiviti sukan tidak dibenarkan kecuali joging dan berbasikal tanpa berkumpulan di kawasan kejiranan. – Utusan TV