Heboh di Indonesia satu ketika dahulu apabila seorang wanita mendakwa dirinya adalah seorang Nabi dan Rasul. Menurutnya, dia telah didatangi oleh malaikat Jibril menyampaikan wahyu serta meneruskan syariat Islam kepada umat Nusantara.

Malah baru-baru ini juga di negara kita ada seorang wanita yang mendakwa dirinya adalah utusan tuhan, membawa agama khusus untuk bangsa Melayu sahaja.

Ternyata dakwaannya adalah dusta. Itu kerana nabi yang terakhir yang diutus Allah s.w.t. adalah Muhammad s.a.w. sebagaimana yang disebut dalam surah al-Ahzab ayat 40,

“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.

Dalam kalangan wanita tidak ada yang menjawat jawatan tersebut, meskipun ada di kalangan ulama yang berpandangan begitu. Hujah mereka, seorang nabi atau Rasul itu mendapat wahyu secara terus dari Allah.

Dan itulah yang berlaku kepada beberapa orang wanita seperti Maryam, Siti Hajar, Hawa, Sarah, Asiah dan ibu nabi Musa a.s. yang didatangi malaikat Jibril menyampaikan wahyu menurut al-Asy’ari.

Bahkan Ibnu Hazm mengambil dalil dari surah al-Qasas ayat 7 bermaksud,

“Dan Kami wahyukan kepada ibu Musa, “susuilah dia dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkanlah di ke sungai Nil. Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah pula kamu bersedih hati kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan menjadikannya salah seorang dari para rasul.”

Dalil ini dikuatkan pula dengan hadis Baginda s.a.w.

“Lelaki yang sempurna itu banyak. Namun tidak ada wanita yang sempurna selain dari Maryam binti Imran dan Asiah isteri Firaun.” – HR Bukhari

Benarkah dakwaan tersebut, sedangkan yang kita ketahui dalam sirah nabawi tidak pula dinyatakan wujudnya nabi di kalangan wanita. Kesemuanya adalah lelaki?

Lalu persoalan ini kami ajukan kepada Mohd Shahril Abdul Samat, Naqib Masjid Jamek al-Khadijiah Pantai Dalam yang punya jawapannya berdasarkan pada ayat 43 surah an-Nahl,

“Dan kami tidak mengutus rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan dari kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka.”

Mungkin ada di kalangan ulama yang menggunakan dalil menyatakan mereka yang didatangi malaikat sudah tentu menjadi nabi. Namun pendapat ini boleh dipertikai dengan dalil yang hampir sama dari surah Yusuf ayat 109,

“Tidaklah Kami mengutus sebelum kamu kecuali dari kalangan laki-laki yang Kami wahyukan kepda mereka di kalangan penduduk negeri.”

Secara langsung dua ayat dari dua surah yang berbeza ini menguatkan hujah bahawa nabi dan rasul yang diutus Allah adalah seorang lelaki dan bukan wanita.

Umumnya, seperti yang kita ketahui, tujuan Allah S.W.T. mengutus nabi dan rasul sebagai pendakwah tidak lain mengajak umat manusia mengesakan Allah dan menjauhi kebathilan. Tugas ini menuntut mereka di kalangan para nabi dan rasul untuk bergaul dan bersama dengan masyarakat setiap masa.

wanita mempunyai batas dan kemampuan terhad untuk memikul tugas sebagai nabi.

Sedangkan hakikatnya, kita sedar sebagai wanita sudah tentu gerak pergaulan mereka terbatas, apatah lagi jika mereka sudah berkeluarga. Sudah tentu keutamaan mereka kepada suami dan anak-anak.  

Wanita punya batasnya sendiri

Namun berbeza bagi lelaki. Mereka diangkat menjadi nabi sesuai dengan tanggungjawab serta amanah besar yang mereka pikul. Itu menyerlahkan mengapa nabi atau rasul hanyalah dalam kalangan lelaki sahaja.

Ia bukanlah bermaksud bahawa Allah itu zalim dan tidak adil kerana mendiskriminasikan gender. Tetapi kita maklum lelaki punya susuk fizikal yang lebih kuat dari wanita dan punya emosi yang lebih stabil berbanding wanita.

Pergaulan mereka dalam masyarakat tidaklah sebatas pergaulan wanita. Malah dengan ujian-ujian yang sangat berat untuk dipikul sudah tentu memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang kuat. Inilah yang berlaku kepada nabi Muhammad s.a.w. apabila dihina, dicerca, diugut bunuh malah pelbagai lagi cabaran dan ujian yang harus ditanggung.

“Bukankah wanita mempunyai waktu-waktu cuti dan saat-saat yang menyebabkan dirinya lemah dek kerana kehamilan, melahirkan anak, haid, perubahan hormon, dan lain-lain yang berkaitan dengan kewanitaan.”

Mereka juga tertakluk dengan tanggungjawab menjaga suami dan anak-anak serta perlu patuh dengan segala kehendak suami.

Andainya mereka menjadi nabi sudah barang tentu akan menambahkan lagi beban yang sedia ada. Justeru itu adalah lebih menepati fitrahnya bahawa lelaki itu diberikan jawatan sebagai nabi yang memimpin umat manusia ke jalan kebenaran dan bukannya wanita.

Dan itulah juga bukti betapa kasih sayang Allah begitu besar kepada wanita hingga mereka tidak dibebankan dengan tugas dan tanggugnjawab yang mencabar, bukan sahaja dari segi emosi bahkan juga jasmani. Wallahu a’lam.