empat penyamun maut ditembak
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Empat penyamun bersenjata maut selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis yang turut menyaksikan seorang pegawai pasukan keselamatan itu cedera ditikam suspek dalam kejadian di Jalan Pagoh-Parit Sulong, di Batu Pahat awal hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam kejadian 3.15 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan sebuah Toyota Avanza dan Perodua Myvi, masing-masing dinaiki dua lelaki, yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika polis mahu membuat pemeriksaan, pemandu dan penumpang Toyota Avanza bertindak agresif dengan pemandunya mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Pada masa sama, dua suspek yang menaiki Perodua Myvi bertindak menyerang polis menggunakan parang dan kerambit dalam usaha melarikan diri, dan dalam pergelutan itu seorang daripada suspek menikam pegawai kita sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, di sini.

Memetik laporan BERNAMA, Ayob Khan berkata bagi mempertahankan diri, pihaknya bertindak membalas serangan dengan melepaskan tembakan yang mengenai kesemua suspek.

empat penyamun maut ditembak
Ayob Khan menunjukkan senjata yang digunakan suspek pada sidang media di Batu Pahat hari ini./ Gambar FB Polis Johor

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan awal, polis percaya keempat-empat suspek yang berusia 23 hingga 40 tahun berkenaan merupakan warga asing.

Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek yang merupakan kenderaan curi menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan samun dan pecah rumah, katanya.

“Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver serta empat butir peluru di lokasi kejadian selain enam kelongsong, dua bilah parang dan sebilah kerambit,” katanya.

Beliau berkata kesemua mayat suspek dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk bedah siasat, sementara pegawai polis yang cedera diserang dengan kerambit itu dirawat di Hospital Batu Pahat.

Baca artikel berkaitan: Dadah RM201 juta dirampas, TMJ ucap syabas pada polis Johor

Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.