Tidak menafikan, di dalam al-Quran terdapat banyak dalil-dalil yang membuktikan ramai wanita mendapat wahyu secara langsung dari Allah melalui perantaraan malaikat Jibril. Antaranya dalam surah Maryam ayat 17 dan 18,

“Maka dia mengadakan tabir (yang melindunginya) daripada mereka lalu Kami mengutus roh Kami (Jibril a.s.) kepadanya, maka dia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia yang sempurna.”

Dari ayat ini, sudah jelas yang malaikat Jibril telah mendatangi Maryam dalam rupa bentuk manusia serta menyampaikan wahyu dari Allah. Bahkan situasi ini juga terjadinya dialog antara Maryam dengan malaikat Jibril. Dan dengan tegas juga Jibril a.s. menyatakan bahawa Allah s.w.t. telah memilih Maryam, mensucikannya dan memilihnya dari wanita-wanita seluruh alam.

Ini disebut pula dalam surah Ali Imran ayat 42-43,

Dan (ingatlah) ketika malaikat (Jibril) berkata, “hai Maryam! sesungguhnya Allah telah memilih kamu, menyucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia. Hai Maryam, taatlah kepada tuhanmu, sujud dan rukuklah bersama orang yang rukuk”

Memahami tentang permasalahan ini, sebenarnya di dalam al-Quran bukan hanya para nabi dan wanita sahaja yang disebut mendapat wahyu dari Allah. Dan wahyu yang mereka terima bukanlah menjadi syarat utama bahawa mereka adalah seorang nabi. Itu boleh kita lihat dalam kisah Iskandar Dzulkarnain yang disebut dalam surah al-Kahfi ayat 86,

“Hingga apabila dia telah sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata, “Wahai Dzulkarnain! Kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka”

Jelas dalam ayat ini Allah sememangnya sedang berkata-kata kepada Dzulkarnain, namun para ulama tidak mensabitkan dia sebagai seorang nabi atau Rasul, meskipun ia diberikan tugas yang besar menghalang Yakjuj dan Makjuj dari melakukan kerosakan di muka bumi.

Lebah juga mendapat wahyu

Begitu juga, tidak semua yang diberi wahyu oleh Allah adalah nabi. Jika begitulah syarat dan hujahnya, sudah tentu lebah, langit dan bumi juga adalah nabi. Lihat pada surah an-Nahl ayat 68 yang menemukan ungkapan, menunjukkan Allah telah memberi wahyu kepada sekumpulan lebah.

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, “buatlah sarang-sarang di bukit-bukit di pohon-pohon kayu dan di bangunan-bangunan yang dibuat manusia”

Begitu juga surah Fussilat ayat 12,

“Lalu diciptakan Nya tujuh langit dalam dua masa dan pada setiap langit Dia mewahyukan urusan masing-masing…”

Serta surah al-Zalzalah ayat 4 dan 5,

“Pada hari itu bumi menyampai beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah mewahyukan (yang demikian itu) padanya”

Jika semua yang dikatakan menerima wahyu itu adalah nabi dan rasul sudah tentu lebah, langit dan bumi juga menjawat jawatan nabi sedangkan itu adalah sesuatu yang mustahil bagi seorang nabi.

Demikian juga dengan istilah memilih dalam ayat al-Quran. Apabila Allah memilih seseorang, tidak semestinya orang yang dipilih itu secara langsung bergelar nabi dan rasul. Ada juga yang tidak diangkat menjadi nabi seperti keluarga Imran dalam surah Ali Imran ayat 33,

“Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, Keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat”

Sesiapa sahaja menerima wahyu

Adapun mendapat wahyu dari Allah tidaklah semestinya mengangkat darjat seseorang menjadi nabi. Kerana Allah memberikan wahyu kepada mahkluknya dari kalangan siapa sahaja yang Allah kehendaki waima seekor serangga sekalipun.

Bahkan tidak semua yang didatangi malaikat Jibril adalah seorang nabi. Buktinya dalam satu kisah pernah ketika Baginda s.a.w. dan para sahabat berkumpul bersamanya, datang seorang lelaki yang berpakaian serba putih dengan rambut yang sangat hitam. Tiada seorang sahabat pun yang mengenalinya. Dan tiada pula bekas yang menunjukkan ia sedang dalam perjalanan yang jauh.

Sesiapa sahaja boleh menerima wahyu dari Allah, bukan hanya nabi dan rasul.

Lalu lelaki ini berbicara dengan Baginda s.a.w. dengan bahasa Arab yang fasih hingga semua yang hadir dalam majlis itu mendengar dan faham benar dengan apa yang sedang disampaikan. Kemudian setelah ia berlalu pergi, Nabi s.a.w. pun menerangkan kepada sahabat bahawa lelaki yang datang sebentar tadi adalah malaikat Jibril untuk memberi pelajaran agama kepada para sahabat.

Semua sahabat yang hadir di situ mendengar bagaimana malaikat Jibril menyampaikan amanatnya dan ajaran dari langit. Namun semua sahabat yang hadir tidaklah secara langsung dilantik menjadi nabi.

Jika kita kata para sahabat tidak dilantik menjadi nabi kerana Baginda s.a.w. adalah nabi terakhir. Lalu bagaimana pula dengan kisah tiga orang pemuda Bani Israel yang mana seorang mengalami penyakit sopak, penyakit botak dan buta matanya didatangi oleh malaikat Jibril untuk menguji keimanan mereka.

Kisah ini disebutkan oleh Baginda s.a.w. dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a. Walaupun ketiga-tiganya bertemu dan berbicara secara langsung dengan malaikat Jibril, namun mereka juga tidak dianggap sebagai nabi.

Pun begitu jumhur ulama sepakat menyatakan semua nabi adalah di kalangan lelaki.  Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran yang turun oleh malaikat Jibril secara terus kepada para wanita terpilih ini bukanlah merujuk kepada pangkat kenabian atau bukanlah wahyu secara hakikinya. Tetapi itulah hanyalah ilham yang diberikan sebagai bukti dan petanda bahawa Allah s.w.t. memberi kemuliaan kepada mereka.

Menurut Imam an-Nawawi dalam al-Adzkarnya menukil keterangan dari imam Haramain bahawa Maryam bukanlah seorang nabi berdasarkan jumhur ulama. Bahkan terdapat keterangan dari Hasan al Basri yang menegaskan dalam kitab Fathul Bari,

 “tidak ada nabi di kalangan wanita tidak pula dari golongan jin” Wallahu a’lam.