MENYEDARI kepentingan pelitup muka dalam memerangi pandemik Covid-19 yang semakin mengganas, selebriti popular Izzue Islam bersama pasukan Neutrovis telah menyerahkan 10, 000 kotak pelitup muka untuk golongan susah.

Izzue atau Muhammad Izzul Islam Mazlan,30, berbesar hati apabila terlibat dalam program amal yang secara peribadi sangat bermakna baginya.

“Program amal ini sangat bererti buat saya. Keseronokan yang sukar digambarkan dengan kata-kata apabila dapat berbakti kepada masyarakat.

“Saya memuji usaha murni ini dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan. Bagi saya, dalam norma baharu ini, pelitup muka sangat penting dalam kehidupan seharian.

“Dalam memerangi wabak ini, pastinya ada golongan yang sangat terkesan dalam pelbagai aspek, jadi saya selalu berpesan pada diri sendiri, jika kita masih mampu berdiri, hulurlah tangan pada mereka yg sedang jatuh.

“Sama-sama kita lindungi diri dan keluarga tersayang,” ujarnya lagi.

Izzue Islam bersama pemilik jenama Himalaya, Datuk KK Chua menyerahkan sumbangan kepada Datuk Zuraida Kamaruddin

Atas dasar prihatin dan menjalankan tanggungjawab sosial, Izzue sebagai duta produk berkenaan telah menyumbangkan 10,000 pelitup muka dan diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Dr. Hajah Zuraida Kamaruddin.

Penyumbangan pelitup muka perubatan yang diluluskan oleh MDA (Medical Device Authority) bernilai RM 350,000.00 disumbangkan untuk membantu golongan kurang mampu, komuniti B40, penduduk PPR dan petugas barisan hadapan.

Inisiatif oleh Neutrovis dan Himaya ini dilancarkan dalam semangat perayaan Tahun Baru Cina untuk mengurangkan beban anggota-anggota barisan hadapan dan golongan B40.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi