Suatu pagi pada bulan Februari tahun 1945, seorang gadis petani berusia 21 tahun yang sedang tidur terkejut apabila pintu rumahnya diketuk bertalu-talu pada pukul 5.00 pagi.

Gadis bernama Ida Weisenbacher itu terkejut apabila melihat sekumpulan tentera Nazi berada di depan rumahnya yang terletak di  sebuah kawasan terpencil berdekatan pergunungan Alpien di Austria.

Tentera Nazi itu mengarahkannya untuk membawa mereka ke sebuah tasik dengan kereta kuda.

Gadis itu yang ketakutan hanya menurut arahan. Setelah kereta kuda disediakan, tentera Nazi itu memindahkan puluhan kotak dari trak mereka ke atas kereta kuda tersebut.

Gadis itu diarah membawa kereta kudanya yang sudah penuh muatan ke arah sebuah tasik tidak jauh dari rumahnya. Jalannya kecil dan berliku. Trak besar tidak muat untuk memasuki jalan itu. Hanya kereta kuda yang boleh melaluinya.

Bukan sekali, tetapi tiga kali gadis itu ulang-alik dari tasik ke rumahnya bagi membawa puluhan kotak-kotak rahsia tersebut. Gadis itu turut menyaksikan tentera Nazi mencampakkan kotak-kotak itu ke dalam tasik. Sejak itu, timbul spekulasi mengatakan tasik itu menyimpan harta karun yang disembunyikan oleh pihak Nazi.

Di Mana Tasik Itu?

Lokasinya tasik agak terpencil. Jauh ke dalam hutan di bahagian barat Austria. Disebut sebagai tasik Toplitz, ia dikelilingi hutan tebal berserta cenuram dan gunung mati.

Tasik Toplitz di Austria.

Sewaktu perang dunia ke-2, tasik Toplitz dijadikan markas untuk menjalankan pelbagai ujian ketenteraan oleh tentera Nazi. Di kawasan tasik sepanjang dua kilometer dengan lebar 400 meter ini, para saintis melakukan pelbagai ujian dan eksperimen melibatkan bahan letupan. 

Sewaktu perang meletus, pihak Nazi berjaya menguasai sebahagian negara Eropah. Mereka merampas segala harta seperti wang dan emas kepunyaan bank-bank negara dan membawanya pulang ke Jerman. Kononnya, segala barangan berharga seperti emas telah dileburkan, lalu dibentuk menjadi jongkong emas. Dikatakan harta rampasan inilah yang digunakan Nazi untuk membiayai perang mereka.

Apabila tentera Nazi dipimpin diktator Adolf Hitler mula mengalami kekalahan, pihak tentera diarah untuk memindahkan sisa harta-harta Nazi ke serata tempat.

Justeru tidak hairanlah apabila Hitler berjaya dikalahkan, hanya sebahagian kecil harta Nazi yang berjaya ditemui. Jutaan harta rampasan yang lain tidak dapat dikesan. Lalu bermulalah pelbagai pencarian harta karun Nazi. Salah satu lokasi yang menjadi tumpuan adalah di dasar tasik Toplitz.

Pencarian Yang Meragut Nyawa

Pada tahun 1959, sebuah penerbitan majalah di Jerman menghantar penyelam ke tasik ini. Mereka temui peti, namun bukan berisi emas. Hanya mata wang pound tetapi ia hanya wang palsu. Turut ditemui beberapa dokumen penting. Salah satunya berkaitan ‘Operasi Bernhard’ yang dirancang Hitler.

Ia adalah operasi untuk melemahkan ekonomi pihak musuh dengan memalsukan mata wang mereka. Dan wang palsu inilah digunakan untuk membiayai perang. Dikatakan, lebih kurang hampir lima bilion pound berjaya dipalsukan melalui operasi ini. Rancangan Hitler berjaya apabila bank Inggeris ketika itu terpaksa menarik mata wangnya dari pasaran dan terpaksa mereka bentuk mata wang baru.

Pencarian di tasik Toplitz hanya menemui wang palsu.

Beberapa usaha pencarian di tasik ini pernah mengorbankan penyelam di tasik yang berkedalaman lebih 100 meter itu. Setelah seorang penyelam terkorban di dasar tasik itu pada tahun 1969, kerajaan Austria telah melarang segala aktiviti carian harta karun di sekitar tasik Toplitz.

Tidak lama kemudian, Austria melancarkan operasi ‘Camouflage Curtain’, iaitu pencarian besar-besaran di dasar tasik untuk mencari harta karun Nazi yang tersembunyi. Ratusan tentera mengawal ketat kawasan itu agar tidak dicerobohi sewaktu pencarian dijalankan.

Antara yang ditemui adalah 18 peti berisi wang pound palsu bersama plat logam yang digunakan untuk mencetak wang tersebut. Selebihnya, yang dijumpai hanyalah sisa-sisa roket dan senjata.

Akhirnya, operasi itu dihentikan pada Disember 1983. Menurut Austria, seluruh tasik itu telah diteroka dan disahkan sudah ‘kosong’. Oleh itu, segala pencarian lain adalah dilarang sama sekali. Tetapi, siapa yang peduli?

Sejak dahulu, pencari harta karun tidak jemu datang ke tasik ini.

Seorang pakar biologi pernah meneroka tasik ini untuk menjalankan kajian hidupan di dasarnya. Ia turut menemui beberapa peti yang juga berisi wang palsu berserta peralatan ketenteraan.

Sebuah perusahaan terkenal yang pernah melakukan pencarian artifak di kapal Titanic juga pernah melakukan pencarian di tasik Toplitz pada tahun 2000. Menggunakan teknologi moden, sebuah kapal selam dihantar menjelajah dasar tasik. Pun sama, hanya peti berisi wang palsu ditemui.  

Walaupun begitu banyak wang palsu ditemukan, ia tidak berjaya menghakis kepercayaan bahawa ada harta karun Nazi tersembunyi di tasik tersebut. Apatah lagi apabila seorang penyelam menemui teko daripada emas di tasik itu pada tahun 2003. Teko dengan lambang Jerman itu dikatakan bernilai 100 ribu dolar.  Ia menguatkan lagi dakwaan kisah harta karun yang terbenam di situ.

Ia bagaikan satu impian yang tidak pernah pudar buat pencari harta karun Nazi. Walaupun kebanyakan carian menemui kegagalan, mereka tidak pernah putus asa. Mereka masih terus mencari harta karun tersebut yang tidak diketahui kesahihannya.