EKORAN daripada pengumuman penundaan Anugerah Juara Lagu (AJL35) bulan lalu, acara berprestij itu kini dijadualkan bersiaran secara langsung tanpa penonton pada 14 Mac depan pukul 9 malam di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, pihaknya sudah bersedia untuk menganjurkan AJL35 dalam norma baharu.

“Penularan COVID- 19 ini membuatkan kami lebih menitik beratkan kesihatan kaki tangan, artis serta mereka yang terbabit menjayakan produksi ini.

“Dalam situasi penularan pandemik ini, kami akan memanfaatkan kebenaran serta kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah berkuatkuasa bermula 8 Januari lalu.

“Bila mendengar keputusan tersebut, perancangan teliti dibuat untuk memastikan kelancaran acara tahunan berprestij ini dan merancang untuk menganjurkan AJL35 pada 14 Mac 2021. Walau bagaimanapun, tarikh tersebut bukanlah tarikh muktamad kerana kami perlu akur dengan sebarang ketetapan yang bakal diumumkan oleh pihak MKN dari semasa ke semasa berkaitan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita mempertaruhkan lagu Belenggu Rindu di AJL35

AJL35 yang dihoskan oleh Sherry Alhadad, Haziq Hussni dan Awal Ashaari ini telah dijadualkan untuk bersiaran pada 7 Februari 2021 di Auditorium MBSA, Shah Alam, sebelum pengumuman penundaannya yang disebabkan oleh pelanjutan tempoh PKP. Tarikh baharu AJL35 ini juga telah disebut oleh Awal ketika bersiaran secara langsung dalam Melodi, semalam.

Saksikan juga Debaran AJL35, sebuah program khas berdurasi satu jam bersama Sherry dan Haziq yang menyingkap setiap sudut persiapan AJL35 yang akan disiarkan secara langsung pada pukul 5.30 petang – 6.30 petang, hari Sabtu, 13 Mac ini di TV3.

Selain itu, penonton di rumah turut berpeluang untuk saksikan temu bual eksklusif di karpet merah, Lounge AJL35 bersama Muaz Mohamed (Kool FM) dan Sissy Imann pada malam kemuncak di TV9.

Senarai lagu AJL35 :

1.Semalam - Aina Abdul
2.7 Nasihat - Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta
3.Belenggu Rindu - Wany Hasrita, Datuk Jamal Abdillah
4.Peluang Kedua - Nabila Razali 
5.Hati - Hael Husaini
6.Hutang - Floor 88
7.Gila - Kaka Azraff, Noki, Loca B
8.Eh - Zizi Kirana
9.Kau Sakiti - Amir Masdi 
10.Jangan Khianati Aku - Azlan & The Typewriter
11.Gundah - Ernie Zakri 
12.Aku Bidadari Syurgamu - Aishah

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi