hadi awang

KEADAAN Presiden Pas, Abdul Hadi Awang adalah stabil pagi ini selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi kerana kurang sihat dan sesak nafas.

Perkara itu disahkan oleh anaknya, Muhammad Khalil yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok dalam Facebook miliknya hari ini.

“Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.

“Mohon doa dari semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah,” katanya yang mengemas kini statusnya dari IJN pada kira-kira pukul 7 pagi ini.

Sebelum dimasukkan ke IJN, Hadi yang juga Duta Khas kepada Perdana Menteri ke Asia Barat dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya pada 7.50 malam.

BERITA BERKAITAN Presiden Pas dimasukkan ke IJN malam tadi

Menurut sumber, doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan keadaan Hadi stabil namun jantungnya agak lemah kemungkinan akibat keletihan.

“Doktor yang merawat Hadi turut melakukan ujian saringan ke atas presiden PAS itu bagi mengenal pasti sama ada beliau dijangkiti Covid-19 atau tidak,” katanya kepada FMT.

Turut kelihatan di Hospital Putrajaya malam tadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. – UtusanTV

Ikuti pelbagai berita dan artikel terkini di FacebookTwitter dan Instragram UtusanTV.com.