sakit hapus dosa

Lebih sakit, lebih banyak dosa dihapuskan, itulah kafarah. Ia boleh jadi datang dalam bentuk ujian dan musibah, juga boleh datang dalam bentuk kesenangan dan nikmat. Imam Tirmizi pernah menyebutkan,

“Jika manusia itu tahu tentang betapa besarnya pahala bagi orang yang ditimpa musibah, maka pasti ia lebih senang sekiranya kulit tubuhnya digosok dengan seterika dunia.” 

Dari kata-kata tersebut jelas difahami, lagi berat musibah dan ujian yang diterima, maka lebih banyaklah dosa-dosanya akan terhapus dan lagi besarlah ganjaran yang diperoleh.  Lantas tidak hairanlah apabila Rasulullah menyebut,

“Alangkah pedihnya sakaratulmaut itu”,

Akan tetapi sabda Rasulullah itu sedikit pun tidak menggentarkan hati khalifah Umar bin Abdul Aziz. Sebaliknya dia berkata,

“aku tidak menyukai diringankan pada waktu sakaratulmaut yang sangat berat kerana sakaratulmaut yang sangat berat akan menghapuskan dosa bagi orang Muslim”

Jelas kesengsaraan dan kesakitan yang ditimpa kepada hamba-hamba Allah bukanlah berupa hukuman semata-mata, sebaliknya ia adalah kafarah (penebus atau penyucian dosa) yang Allah berikan selama mana seseorang itu reda dan sabar dengan ujian tersebut. 

Hari ini ramai yang sedang dilanda ujian kesusahan dan kesengsaraan. Bahkan saban hari angka-angka yang dijangkiti penyakit Covid19 tidak pernah berkurang. Begitu juga yang berada dalam zon kritikal. Lebih teruk lagi setiap hari ada sahaja kematian dicatatkan angkara covid19.

Semakin berat sakaratulmaut semakin besar pengampunan Allah kepadanya.

Begitu juga kematian-kematian disebabkan kemalangan atau pembunuhan. Walaupun secara zahirnya kematian mereka dalam pandangan mata kasar dasyat dan mengerikan. Namun percayalah, kematian-kematian tersebut pastinya di sisi Allah adalah kematian yang sangat mulia. Bahkan kematian tersebut dianggap syahid oleh Allah S.W.T.

Ujian mahupun musibah Allah adalah bertujuan menaikkan darjat seseorang.  Apabila seseorang ditimpa dengan ujian Allah, maka sabar dan reda adalah paling utama. 

“Sakit itu memang penebus dosa. Justeru kena sabar dengan ujian Allah. Dan selain itu perlulah ada pengharapan kepada Allah (ikhtisabun) agar diberikan pahala dengan sedikit kesusahan yang dihadapi”

Apa yang pasti setiap musibah itu, sekalipun di mata kasar sebahagian orang melihat ia sebagai hukuman Allah kepada mereka yang melakukan dosa, namun di sebaliknya adalah rahmat apabila melalui musibah dan ujian itu terampun dosa-dosa lalu yang dilakukan.

Wajibkah berubat?

Ada pendekatan yang diambil oleh para ulama untuk tidak mewajibkan seseorang itu berubat. Sebaliknya hukumnya hanyalah harus. 

Akan ada orang bertanya, berdosakah jika seseorang tidak mahu berubat tetapi mengharapkan kesakitan yang terpaksa dihadapi akibat dari penyakitnya itu beroleh penghapusan dosa daripada Allah s.w.t, maka jawapannya, tidak berdosa. 

Kalau wajib, ertinya orang yang tidak mahu berubat itu berdosa. Tetapi jangan sesekali menyamakan kaedah hukum di atas dalam situasi darurat.  Ia memang berbeza kerana dalam darurat ia melibatkan persoalan nyawa.

Bersabar dengan ujian, pasti Allah akan tinggikan darjatnya.

Jika tidak dimakan misalnya sekalipun makanan itu haram, maka dia akan mati. Dan kerana itu, di situ hukumnya jatuh wajib.

Berbeza dengan sakit tadi, sekalipun mengambil ubat, ia belum tentu sembuh. Dan atas dasar itulah, berubat itu hukumnya hanya harus.     

Sebagai manusia, apabila seseorang yang ditimpa dengan musibah yang teruk seperti terkena penyakit-penyakit yang sukar diubati dan akhirnya terlantar, jangan sesekali kita mengatakan bahawa itu adalah balasan Allah terhadap dosa-dosa lampaunya sekalipun kemungkinan itu ada. 

Sebaliknya, ada kalanya ujian mahupun musibah itu adalah kerana Allah sayang padanya dan tidak mahu ia berterusan lalai dengan dosa yang dilakukan. Malah ujian dan musibah itu juga kerana ingin menaikkan darjat seseorang.  Semua itu di luar pengetahuan manusia. Wallahu a’lam