YANG ditunggu-tunggu telah tiba! Single Neraca, gandingan raja pop tanah air Datuk Jamal Abdillah bersama penyanyi rap Luca Sickta dan Kmy Kmo akan menemui peminat muzik tempatan pada Jumaat ini!

Boleh dikatakan, kerjasama kali ini antara yang mega dan menjadikan portfolio Luca dan Kmy semakin ampuh dengan penambahan satu lagi kolaboratif bersama barisan penyanyi terkemuka.

Sebelum ini, penyanyi rap yang semakin meningkat naik itu pernah merakamkan single bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu 7 Nasihat. Lagu ini turut mara ke pentas Anugerah Juara Lagu 35 yang dijadualkan pada 14 Mac depan.

Selain itu, mereka berdua pernah berpadu suara dengan Datuk M.Nasir menerusi lagu Zuhud yang dilancarkan pada 2019.

Berbalik kepada single Neraca yang merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Luca dan Kmy, difahamkan ini merupakan kali pertama Jamal,61, keluar daripada zon selesa dan cuba untuk berinteraksi dengan muzik rap dengan diberi elemen irama timur tengah.

Meskipun sudah berada di kelas yang tersendiri, namun Jamal atau nama lengkapnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali tidak pernah berasa malu untuk berduet dengan artis baharu.

Demi menarik minat generasi baharu, Jamal sebelum ini pernah berduet dengan penyanyi Wany Hasrita menerusi lagu Belenggu Rindu, dua tahun lalu. Percubaan sulungnya itu nyata membuahkan hasil dan sehingga kini telah mencatatkan lebih 18 juta tontonan sejak dimuat naik di saluran Youtube pada September 2019.

Istimewanya lagi, lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu akan turut sama berentap di pentas akhir AJL35 yang akan disiarkan secara langsung di TV3.

Jadi, adakah anda semua sudah bersedia dengan Neraca? Ayuh! sama-sama kita nantikan pada 19 Februari ini! Sebelum itu, jom kita layan dulu teaser di bawah ini.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi