al-Quran wajib baca bertajwid

Al-Quran wajib dibaca dengan bertajwid bagi setiap Muslim. Jika anda membaca al-Quran tanpa bertajwid, tidak dikira sebagai ibadah. Namun sekiranya dibaca hanya untuk berhujah atau mengambilnya sebagai dalil hukum feqah atau selain dari untuk membaca al-Quran seperti berdoa, hukumnya adalah diharuskan tetapi tidak mendapat pahala.

Tajwid bermaksud menyebut setiap huruf dalam al-Quran mengikut makhrajnya (tempat keluar huruf) serta menyempurnakan sifatnya sama ada huruf tersebut berkekalan pada sifat atau tidak.

Seandainya anda membaca al-Quran seperti surah al-Fatihah di dalam solat, wajib dibaca dengan bertajwid kerana ia adalah rukun solat. Jika membaca tanpa tajwid yang betul, solat yang anda dirikan hukumnya tidak sah.

Akan tetapi membaca surah-surah lain selepas al-Fatihah hukumnya adalah sunat. Dan jika dibaca tanpa tajwid yang betul, solat yang anda dirikan masih sah. Adapun bagi seorang imam, wajib dia membaca surah-surah lain dengan tajwid yang betul bagi menjaga hak kalamullah atau bertajwid.

Maka lantik dan pilihlah seorang imam yang berilmu serta ahli dalam bidang al-Quran kerana itu merupakan tuntutan agama.

Sejarah Tajwid

Ahli sejarah berbeza pandangan dalam menentukan siapakah orang pertama yang membuat kaedah ilmu tajwid. Ada pandangan mengatakan orang pertama yang merangka kaedah ilmu tajwid ialah al-Khalil bin Ahmad Farahidi.

Pendapat kedua mengatakan Abu al-Aswad ad-Duali. Manakala pandangan lain menyatakan beliau adalah Abu Ubaidi al-Qasim bin Salam.

Beginilah al-Quran pertama yang ditulis tanpa titik dan baris

Kaedah-kaedah ilmu tajwid ini dirangka bagi menjaga Mushaf Utsmani yang dihantar ke wilayah Arab tanpa mempunyai titik dan baris. Pada waktu tersebut, al-Quran tidaklah seperti yang kita miliki sekarang iaitu mempunyai baris dan titik. Penulisannya hanyalah huruf-huruf yang bersambung. Ini sudah tentu menyukarkan bagi orang bukan Arab seperti kita untuk membaca al-Quran.

Boleh anda bayangkan, bagaimana agaknya jika al-Quran yang ada sekarang tidak mempunyai baris dan titik?

Jika yang mempunyai baris dan titik, malah ditambah baik lagi dengan tambahan pelbagai warna bagi membezakan hukum tajwid pun ramai menghadapi kesukaran untuk mempelajari dan membacanya, inikan pula jika tanpa baris dan titik. Sudah pasti lagi ramai yang tidak akan membacanya langsung.

Islam mula berkembang bukan sahaja di Jazirah Arab malah ke Benua Eropah dan Asia Tenggara

Adapun orang yang pertama membuat syair dan qasidah tentang ilmu tajwid ialah Abi Muzahim al-Khaqan iaitu seorang penyair hebat di awal kurun ke 3 Hijrah bersamaan kurun ke 8 masihi. Beliau mendendangkan syair tersebut setelah melihat keadaan umat Islam pada waktu itu yang semakin jahil dan tidak tahu membaca al-Quran.

Keadaan ini disebabkan dakwah Islam semakin luas berkembang, bukan sahaja di Jazirah Arab malah meluas hingga ke benua Eropah dan Asia Tenggara. Maka semakin ramai bukan Arab memeluk agama Islam. Oleh itu tidak mustahil ramai yang tidak tahu membaca al-Quran.

Menurut penulis kitab Kasyfu az-Zunun, orang pertama yang menulis kitab tajwid secara tersusun mengikut bab ilmu tajwid ialah Musa bin Ubaidillah bin Yahya bin Khaqan al-Khanani al-Baghdadi al-Mughri. Beliau meninggal pada tahun 325 hijrah.

al-Quran ditulis di atas kulit kambing atau lembu.

Beliau telah membuat qasidah (syair) yang dikenali sebagai Qasidah al-Khaqaniyyah. Qasidah tersebut telah disyarahkan oleh Abu Amru ad-Dani.

Hari ini, kaedah tajwid telah ditambah baik. Malah cara-cara pembacaan al-Quran melalui kaedah tajwid juga mengalami perubahan yang pesat seiring dengan perkembangan zaman.

Untuk mempelajari al-Quran dan bertajwid juga semakin mudah, ada pelbagai kaedah yang diperkenalkan bagi menarik umat Islam memperbaiki bacaan mereka sesuai dengan tuntutan syarak. Tinggal lagi mahu atau tidak sahaja. Wallahu a’lam