Kudat merupakan sebuah daerah yang terletak di negeri Sabah. Mungkin ramai tidak tahu terdapat satu misteri alam yang berlaku di daerah ini.

Di Kudat, ada sebuah kampung bernama Kampung Minyak. Ia mendapat nama daripada satu fenomena ganjil yang terjadi di kawasan ini.

Tidak jauh dari perkampungan itu, kira-kira 1.5 kilometer ke utara, wujud bendalir aneh berwarna hitam yang jarang-jarang dijumpai. Bendalir tersebut sentiasa membuak dan tidak pernah kering sejak ia mula ditemukan.

Kemunculan bendalir aneh ini pertama kali dikesan dalam daerah yang sama di muara Sungai Kurima atau juga dikenali sebagai Sungai Rampai, pada awal 1880-an. Orang yang menjumpai cecair berbau ini ialah F.X. Witti (sejarah tidak menyatakan secara terperinci siapa beliau).

Turut dicatatkan, tidak lama selepas penemuan tersebut, Witti memberitahu tentang apa yang dilihatnya kepada pihak-pihak tertentu dan mencadangkan satu kajian dilakukan bagi mengenal pasti kehadiran bendalir asing tersebut.

Pada tahun 1881, seorang pengkaji minyak dari British North Borneo Chartered Company, bernama Frank Hatton, telah melakukan penelitian lebih mendalam melibatkan zon yang luas. Hasil penerokaan itu, tanpa diduga beliau turut menemukan kehadiran bendalir yang sama dalam anak Sungai Sikuati.

Kajian dan pencarian minyak di sungai Kurima pada awal abad ke-20.

Awalnya, Hatton sendiri mengalami kesukaran untuk mengklasifikasikan jenis cairan aneh itu. Disebabkan rasa ingin tahu, beliau nekad menyelam ke dalam sungai sehingga pada kedalaman 12 meter untuk mengambil sampel. Hasil analisis sampel menunjukkan cecair asing itu mengandungi 82 peratus karbon, 10 peratus hidrogen dan lapan peratus oksigen.

Bendalir asing rupanya minyak mentah yang keluar dari dalam tanah – Foto dari MySabah.com

Sejak hari itu, sejarah aktiviti cari gali minyak di kawasan tersebut bermula dengan pelbagai penerokaan syarikat. Antaranya, British Borneo Syndicate pada tahun 1902, Nederlandsche Koloniale Petroleum Maatschappij (1912), Kuhara Mining Company of Osaka, Jepun (1920), Royal Dutch atau Shell Group (1935).

Beberapa kajian yang dilakukan sebelum ini mendapati bendalir yang timbul di permukaan bumi itu sebenarnya minyak mentah. Tirisan minyak semula jadi ini ditemukan dalam kawasan paya bakau, sekitar beberapa kilometer dari Kampung Minyak.

Minyak itu dikesan mengalir keluar ke permukaan bumi melalui tiga buah cawangan lalu berkumpul membentuk telaga. Salah sebuah telaga minyak paling besar didapati berwarna hitam. Perubahan warna ini berlaku kerana di dalamnya memiliki lapisan bitumen yang keras.

Buih gas boleh dilihat pada permukaan air.

Apabila air pasang, tapak ini akan dilitupi atau digenangi air. Dengan kata lain, lapisan minyak akan sepenuhnya berada di bawah air, tetapi lapisan minyak dan buih gas boleh diperhatikan pada permukaan air tersebut. Selalunya, baik air pasang atau surut, udara di sini sarat dengan bau minyak hingga kadang-kadang menyebabkan rasa kurang selesa bagi mereka yang tidak biasa.

Foto dari My.Sabah.com

Namun, selalu terjadi bila mana anda melihat sendiri kolam minyak ini, satu persoalan akan timbul, mengapa bendalir berbau boleh ada di situ. Kenapa bendalir asing itu memilih untuk hadir di situ dan bukannya di tempat lain, bahkan tidak pernah kering sejak kemunculan pertamanya sekitar awal abad 20-an dahulu.

Sebab kenapa tirisan minyak semula jadi berada di kawasan itu tidak begitu jelas. Kemungkinan ia telah diangkut keluar dari perut bumi melalui retakan dalam bumi. Para pengkaji juga tidak menolak kebarangkalian ia berpunca daripada lapisan batu pasir yang mana kedudukannya hanya beberapa ratus meter di bawah bumi di luar pantai Sabah.

Berdasarkan sejarah, sebelum bendalir itu diketahui sebagai minyak, masyarakat tempatan pada masa dahulu telah menjadikan tempat tersebut sebagai ‘tanah keramat’. Bahkan, ketika penduduk kampung yang mana kebanyakannya suku Rungus masih berpegang kepada kepercayaan animisme, mereka percaya tapak itu adalah suci.

Menurut penduduk kampung, pada hari-hari tertentu, orang tua-tua dahulu akan mempersembahkan korban haiwan untuk pelbagai sebab. Antaranya untuk tujuan penyembuhan daripada penyakit dan memohon perlindungan dari segala perkara.

Dilaporkan, bayi baru lahir berusia sebulan turut dibawa ke kawasan ini untuk diurap atau disapukan dengan bendalir hitam. Sesiapa yang melawat tapak berkenaan juga perlu mengorbankan ayam untuk dipersembahkan di tempat suci itu. Amalan dan kepercayaan sebegitu bagaimanapun sudah tidak dilakukan pada hari ini.

Pada masa sekarang, tapak tersebut bukan sahaja mempunyai nilai sejarah dan budaya, bahkan memiliki sumber geowarisan dan nilai saintifik yang tinggi. Apatah lagi tirisan minyak ini merupakan sesuatu yang jarang ditemukan di Sabah.

Walaupun ia tidak boleh digunakan sebagai bahan bakar, tetapi kehadiran bendalir minyak ini di tapak itu boleh dijadikan daya tarikan pelancong khususnya mereka yang ingin melihat sendiri minyak mentah. Cuma, tapak ini kurang terpelihara dan perlukan usaha untuk memajukannya supaya menjadi destinasi menarik untuk dikunjungi.