Setiap kali tibanya festival Champa Shasti, puluhan ribu orang yang terdiri daripada kasta Dalit akan mengunjungi sebuah kuil berusia ribuan tahun yang terletak di pesisir kota Mangalore di Karnataka, India.

Tujuan mereka hanya satu, iaitu untuk melakukan ritual ‘Made Shana’ – berguling di atas ludah bagi memohon keberkatan.

Made Shana ialah tradisi aneh yang telah diamalkan sejak ratusan tahun lalu oleh golongan berkasta rendah di India. Made Shana bermaksud ‘mandi ludah’. Golongan kasta rendah ini percaya bahawa segala kesusahan dan penyakit mereka boleh dipulihkan dengan menggulingkan badan di atas sisa makanan yang ditinggalkan oleh golongan yang berkasta tinggi, Brahmana.

Kuil Kukke Subramanya.

Tradisi ini merupakan satu festival tahunan yang diadakan di Kukke Subramanya, sebuah kuil purba berusia 4,000 tahun. Ia turut dilakukan di kuil Sri Krishna di kota Udupi, yang terletak kira-kira 400 kilometer dari pusat bandar Bangalore.

Sambutannya  agak tersusun. Golongan daripada kasta Dalit akan menunggu di luar kuil terlebih dahulu, sementara menunggu golongan berkasta Brahmana menjamah makanan yang disusun memanjang di dalam kuil tersebut.

Suku Brahmana akan makan, berkumur dan meludahkan kembali sisa kumuhan mulut mereka ke atas lantai.

Selepas suku Brahmana selesai meludahkan sisa makanan dalam mulut mereka, barulah pintu kuil dibuka kepada golongan Dalit untuk mereka berguling di atas kumuhan yang diludah suku berkasta tinggi tadi.

Kasta Dalit akan berguling di atas ludah suku berkasta tinggi.

Ia dilakukan secara berperingkat supaya keadaan tidak menjadi terlalu sesak. Kasta Dalit yang terdiri daripada lelaki, wanita, tak kira tua mahupun muda, tidak melepaskan peluang untuk berguling di atas sisa-sisa makanan itu bagi mendapat keberkatan dan ‘merawat’ penyakit mereka.

Tradisi ini telah dilakukan secara turun-temurun sejak berabad lamanya. Dikatakan amalan ini ada kaitan daripada peristiwa legenda dewa Hindu Subramanya dan dewa Krishna.

Mereka percaya golongan kasta Brahmana berasal daripada salasilah dewa Subramanya. Dalam legenda tersebut, Samba yang merupakan anak kepada dewa Krishna telah berjaya merawat penyakit kusta beliau setelah berguling di atas bekas makanan dan air liur dewa Subramanya. Dikatakan dari sini amalan Made Shana bermula.

Mereka percaya amalan ini mampu menyembuhkan penyakit.

Sesetengah pihak menganggap tradisi ini tidak masuk akal dan menjijikkan. Bahkan pemerintah India juga melarang tradisi ini dan mengecam amalan tersebut yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat seseorang.

Ada juga sebahagian individu daripada kasta Dalit yang tidak menerima amalan itu sebagai sebahagian daripada kebudayaan mereka.

Walaupun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, namun sebahagian besar golongan kasta Dalit tidak mahu meninggalkan tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang mereka itu. Mereka tetap percaya kepada mitos di sebalik ritual dan yakin bahawa air ludah dan sisa makanan golongan Brahmana boleh memberi keberkatan.

Sungguhpun dianggap jijik, terdapat juga golongan profesional daripada kasta Dalit yang menyertai amalan berguling atas ludah ini kerana percaya dengan penyembuhannya. Ini kerana berdasarkan testimonial, ramai individu yang menyertai upacara ini mendakwa, penyakit yang dihidapi mereka sebelum ini beransur sembuh dan kesusahan peribadi turut berkurangan.

Jika dilihat dari sudut lain, air liur secara saintifiknya menyimpan banyak komponen luar biasa yang memberi manfaat kepada manusia. Terdapat satu zat di dalam air liur manusia yang dapat mempercepatkan penyembuhan luka.

Air liur mengandungi banyak pelindung semula jadi yang bertindak sebagai antibakteria, anti-fungus dan antivirus. Malah, dalam cairan liur juga sebenarnya mengandungi imunoglobulin yang bertindak sebagai antibodi. Mungkin disebabkan faktor inilah, tradisi Made Shana dikatakan mampu untuk menyembuhkan penyakit, terutamanya penyakit kulit.

Tradisi Made Shana.