Pengasas produk kecantikan cium kanak-kanak ditahan polis

0
4145
Pengasas produk kecantikan
Sejak semalam tular rakaman video pengasas produk kecantikan mencium bibir kanak-kanak lelaki.

Sejak malam tadi, perbualan di alam maya banyak berkisar mengenai video seorang pengasas produk kecantikan dengan selamba mencium bibir seorang kanak-kanak lelaki.

Ramai melahirkan kebimbangan kanak-kanak itu sebenarnya adalah mangsa kepada usahawan berkenaan tanpa dia sedar.

Ini kerana perlakuan mencium bibir boleh dianggap satu bentuk dorongan ke arah seks menurut undang-undang.

Terbaru, pengasas produk kecantikan sudah ditahan di ibu negara petang semalam, berhubung dakwaan lelaki itu mencium bibir seorang kanak-kanak lelaki yang dikatakan adik angkatnya.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, lelaki berkenaan berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Kita buka kertas siasatan selepas terima satu laporan daripada orang awam berkaitan isu itu.

“Lelaki berkenaan ditahan semalam dan polis dalam proses untuk rakam keterangannya untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya pada BH Online hari ini.

Baca artikel berkaitan: Polis buru pengasas produk kecantikan cium bibir kanak-kanak

Menerusi carian pengguna media sosial, usahawan produk kecantikan terbabit memuat naik beberapa video yang memaparkan perilaku sedemikian menerusi akaun TikTok miliknya yang kini sudah dinyahaktif.

Video tersebut mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan orang ramai dan mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu berkenaan dengan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.

Isu seorang lelaki dewasa yang dipercayai pengasas produk mencium mulut kanak-kanak turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda mengingatkan semua ibu bapa agar mendidik anak-anak mereka tentang penderaan seksual kanak-kanak.

Titah Tunku Ismail, ibu bapa perlu mendidik anak-anak perempuan dan khususnya anak-anak lelaki masing-masing kerana mereka sering terlepas pandang tentang isu tersebut.

“Didik mereka tentang apa yang betul dan apa yang salah!

“Jangan biarkan orang luar atau saudara-mara mengambil kesempatan terhadap mereka,” titah baginda melalui Instagram Story laman HRH Crown Prince of Johor.


Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.