WALAUPUN sudah berada di kelasnya yang tersendiri, namun penyanyi Aishah tetap tidak malu untuk mengambil kelas vokal sebagai persediaan membuat persembahan di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke -35 (AJL35).

Menurut Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, meskipun dia sudah berada dalam dunia seni sejak 41 tahun lalu, namun baginya proses menimba ilmu tiada tiik penghujung.

“Sebelum ini saya timbal ilmu dengan Cikgu Siti Hajar, dan kali ini di atas permintaan komposer lagu Aku Bidadari Syurgamu, saya belajar dengan Cikgu Shafi pula.

“Anda lihat, proses pembelajaran tiada titik noktah. Walaupun kita sudah berada di dalam satu bidang itu berdekad-dekad, itu saja cara untuk kita perbaikiki kemahiran kita.

“Terimalah teguran daripada orang yang ahli dalam sesuatu bidang, walaupun Cikgu Shafi cakap dia masih sekolah semasa saya muncul dengan Kelab Peminat (Fan Club),” katanya dalam entri di laman Instagram.

Sementara itu, penyanyi berusia 56 tahun ini sentiasa meletakkan tanda hormat terhadap golongan yang bergelar guru kerana ilmu yang dicurahkan seperti emas yang berharga.

Ujarnya lagi, dengan meletakkan ego ditepi dan tidak malu mengejar ilmu, sudah pasti kejayaan akan berada dalam genggaman.

“Memang saya sangat hormat kepada orang yang bergelar guru, saya tak tahu kenapa. Tak kiralah guru sekolah ke, guru mengaji ke, guru kraf ke, semua saya sangat hormati dan sayangi.

“Kenapa sayang? Kerana bila cikgu memberikan ilmu pada kita,saya rasa maca dapat emas atau sesuatu yang sangat berharga. Malahan emas boleh habis kita belanjakan tetapi ilmu yang kita pelajari kita simpan sampai akhir hayat.

“Bila saya pergi belajar dengan seseorang guru, saya selalu buat diri saya seperti tak tahu apa-apa. Setiap guru ada keistimewaan dia, pasti kita akan dapat sesuatu yang berharga.

“Letakkan ego ke tepi, insya-Allah kita akan lebih berjaya. Seumpama kita mengumpul harta karun, seorang cikgu akan beri kita emas yang seorang lagi beri berlian, ada yang bawa permata dan lain-lain. Tanpa ragu-ragu, mereka sangat istimewa dan saya akan sentiasa ‘berhutang’ dengan guru saya,” ungkapnya.

Untuk info, Aishah akan menggantikan penyanyi asal lagu Aku Bidadari Syurgamu iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza di AJL35 yang akan bersiaran pada 14 Mac depan di TV3.