sembunyi but kereta
Tular gambar seorang remaja sembunyi di but kereta bagi mengelak dikesan polis kerana menyalahi SOP PKP tidak boleh membawa lebih penumpang.

Bukan sembunyi pendatang asing tanpa izin (PATI) di but kereta tetapi seorang remaja lelaki yang juga anak tirinya.

Tindakan itu bagi mengelak dikesan polis kerana kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat membawa lebih penumpang.

Bagaimanapun, perbuatan wanita berkenaan tidak berjaya setelah polis mengesan kesalahan itu di sekatan jalan raya di Kilometer 2.4 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) petang semalam.

Wanita berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Proton Waja melalui sekatan jalan itu jam 5 petang dan memberitahu mahu ke sebuah pasar raya di Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata ketika itu ada seorang remaja lelaki di tempat duduk hadapan penumpang.

“Anggota polis kemudian meminta wanita itu mengalihkan kenderaannya ke bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut apabila curiga dengan keadaan kereta yang nampak mendap.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga anak tiri wanita itu dalam but kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: PKP di 4 negeri dilanjut, namun boleh bergerak lebih 10 km

Shafee berkata, polis mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap wanita itu kerana gagal mengemukakan permit pergerakan merentas daerah dan diarahkan berpatah balik.

Terdahulu, tural di media sosial hari ini apabila beberapa gambar seorang lelaki yang dipercayai bersembunyi di dalam but kereta bagi mengelak dikesan polis di SJR.

Situasi itu menarik perhatian netizen yang rata-ratanya berasa tercuit dengan insiden berkenaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.