KPDNHEP rampas sebanyak 113 tong gas LPG 50 kilogram kg dan 206 tong gas LPG 14kg dalam satu serbuan di premis tanpa nama di sekitar Puchong, Selangor, kelmarin. - GAMBAR HIASAN


PUTRAJAYA  – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP ) merampas sebanyak 113 tong gas cecair petroleum (LPG) 50 kilogram (kg) dan 206 tong gas LPG 14kg dalam satu serbuan di premis tanpa nama di sekitar Puchong, Selangor, kelmarin.

Dalam serbuan itu, sebanyak tiga orang ditahan bagi tujuan membantu siasatan manakala nilai rampasan berjumlah RM147,270. 

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, dalam serbuan itu, tindakan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 diambil ke atas pemilik premis berkenaan.

Menurutnya, premis itu merupakan kilang di kawasan perindustrian yang dijadikan stor simpanan gas LPG. 

“Premis ini disyaki digunakan sebagai tempat untuk memindahkan gas (decanting) LPG bersubsidi 14kg ke dalam tong LPG industri LPG 50kg. 
 “Semasa serbuan dibuat, terdapat beberapa barang dijumpai seperti hos paip, ais batu yang disyaki bagi tujuan ‘decanting’ tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Nizam berkata, KPDNHEP serius dalam menangani isu perlakuan manipulasi bekalan barangan subsidi. 

Tegas beliau, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi barangan bersubsidi yang sepatutnya memberi manfaat kepada pengguna amnya. 

“KPDNHEP akan bertindak tegas untuk menangkap dan membawa orang awam serta peniaga yang didapati melakukan kesalahan yang sama ke muka pengadilan,” tambahnya.