Kuala Lumpur – Malaysia dan Arab Saudi mencapai kesepakatan untuk menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi bagi meningkatkan usahasama dua hala yang menyeluruh.
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sedang mengadakan lawatan kerja negara itu berkata, dalam pertemuan beliau dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud, mereka berkongsi tekad untuk meningkatkan hubungan Malaysia-Arab Saudi ke peringkat strategik.
‘’Kami memuktamadkan rundingan berhubung penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi yang akan menjadi platform usahasama dua hala menyeluruh di peringkat Menteri Luar.
‘’Ia termasuk dalam aspek keselamatan politik serantau dan antarabangsa; pemulihan ekonomi pasca #COVID19; Haji dan Umrah; keselamatan makanan; dan perdagangan minyak sawit,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mereka juga senada untuk memupuk kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk berkaitan teknologi dan inovasi sebagai antara usaha di era pasca Covid-19.

Selain Putera Faisal, Hishammuddin turut diundang bertemu Putera Abdulaziz bin Salman Al Saud yang merupakan Menteri Tenaga Arab Saudi.
Dalam pertemuan itu, kata beliau, antara perkara yang dibangkitkan katanya, adalah termasuk kerjasama dua hala untuk terus mengekalkan kestabilan pasaran minyak serta kaedah meningkatkan peluang pelaburan antara kedua-dua negara.
“Selain pertemuan dengan kedua-dua menteri itu, saya juga ada bertemu dengan beberapa kepimpinan tertinggi Kerajaan Diraja Arab Saudi. Lawatan kerja ini telah menyumbang kepada usaha mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara,” tambahnya lagi.
Hishammuddin berkata, Malaysia dan kerajaan Arab Saudi terus menikmati hubungan persaudaraan yang erat dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pengajian tinggi dan urusan haji.
Katanya, pada tahun lalu, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatatkan jumlah AS$4.83 bilion (RM20.27 bilion) dan Arab Saudi adalah rakan dagang kedua terbesar di Malaysia di Asia Barat.
Beliau yang menzahirkan gembira dengan situasi hubungan dua hala itu menegaskan komitmen teguh untuk meningkatkan usahasama dua hala sedia ada ke peringkat strategik.

