hannah delisha

Aktres jelita Hannah Delisha, 25, memohon maaf kepada peminat dan kepada semua pihak kerana tidak menghebahkan perancangannya untuk mendirikan rumah tangga sebelum ini.

Menurut Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne-Birch,dia seorang yang sangat menjaga privasi lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hal perbadi.

“Saya minta maaf sebab saya memang kurang selesa berkongsi hal peribadi. Memang saya tidak pernah berkongsi di media sosial yang saya bercinta selama ini.

“Sebab bagi saya, biarlah kita sah dahulu sebagai pasangan suami dan isteri, kemudian barulah kita berkongsi pada semua. Kita dahulukan yang wajib, itu yang lebih utama.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana segalanya berjalan dengan lancar,” katanya kepada URTV

Semalam, pelakon drama Cinta Sekali Lagi itu telah mengejutkan ramai pihak selepas dia berkongsi gambar-gambar majlis pernikahannya bersama seorang pelakon kelahiran Singapura, Muhammad Imam Shah Abdul Mutalib,32, di Instagramnya.

Majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup di negara kelahirannya, iaitu di Singapura hanya dihadiri beberapa ahli keluarga daripada kedua pihak sahaja.

Pernikahan mereka didaftarkan di Registry of Marriage Singapore atau Biro Lesen Perkahwinan Singapura.

Bercerita lanjut tentang suaminya, Hannah sebenarnya sudah lima tahun mengenali Imam iaitu ketika sama-sama membintangi sebuah drama berjudul Faculty di Singapura.

“Saya kenal Imam masa ‘shoot’ sebuah drama episod yang bertajuk Faculty di Singapura lima tahun lepas. Imam seorang yang sangat penyabar, penyayang, dan kelakar. Dialah yang sebenarnya banyak mendorong saya untuk lebih cenderung ke arah keagamaan dan alhamdulillah Hannah yang sekarang sedikit sebanyak adalah hasil bimbingan Imam juga.

“Saya pohon semua untuk mendoakan kebahagiaan rumah tangga kami dan teruslah menyokong kerjaya seni saya. Majlis bersanding, kita akan umumkan nanti.

“Insya-Allah kami buat secara bersederhana sahaja unutk keluarga dan teman rapat. Tentang tarikh, saya tak boleh nak beritahu lagi sebab biarlah kes Covid-19 yang sedang menular di seluruh dunia ini tamat dahulu.

“Bila keadaan kembali normal, barulah kami akan berkongsi tarikh majlis bersanding,” ungkapnya.

Sementara itu, pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu akan kembali fokus dalam bidang nyanyian dan sedang dalam rangka mempromosikan single terbaharu berjudul Terlalu Mudah selain terlibat dengan beberapa projek V-Log di saluran Youtube.

“Saya sebenarnya tengah sibuk promosi single terbaharu berjudul Terlalu Mudah. Untuk bidang lakonan, saya tidak akan tinggal, cumaa akan lebih memilih naskah yang sesuai dengan penampilan sekarang.

“Selain itu, saya nak cuba rezeki dalam bidang perniagaan pula. Insya-Allah tak lama lagi saya akan keluarkan rangkaian pakaian RTW dan Exclusive berjenama Délicia.

“Sekarang masih dalam peringkat pemilihan bahan fabrik dan corak. Saya jangkakan insya-Allah kalau tiada aral melintang, dalam beberapa bulan lagi akan siap sepenuhnya,” katanya.

Artikel berkaitan : Hannah Delisha dah kahwin, pelakon Singapura jadi pilihan

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi