RAJA Pop tanah air, Datuk Jamal Abdillah akui tersentuh dengan mesej disebalik single terbaharunya, Neraca yang disampaikan bersama duo rapper, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Menurut, Jamal,61, dia mengagumi setiap bait-bait lirik yang ditulis dalam lagu tersebut yang secara peribadi amat dekat dengan dirinya yang kadangkala terlalu asyik dengan hal dunia.

“Saya suka dan terharu pada semantik lagu ini. Sebab, saya adalah dalam kalangan orang-orang yang lalai daripada rutin harian sampai lupa apa yang seharusnya kita dahulukan.

“Jadi, sedikit sebanyak kejahilan saya ini dapatlah membantu untuk mengingatkan orang lain tentang rutin yang perlu kita berikan keutamaan daripada hal lain… alhamdulillah,” katanya.

Jamal seronok bekerja dengan orang muda seperti Kmy dan Luca

Neraca merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Kmy dan Luca. Difahamkan ia merupakan kesinambungan daripada lagu Zuhud yang dinyanyikan bersama Datuk M. Nasir pada 2019.

Dalam pada itu, Jamal menyifatkan kerjasamanya dengan Kmy dan Luca adalah satu pengalaman baharu selain mengagumi bakat anak muda seperti mereka.

“Kerja dengan anak muda memang seronok dan mereka berdua sangat berbakat. Bila saya masuk studio rakaman, saya letakkan diri saya di bawah.

“Saya tak kisah kalau orang kata penyanyi legenda bergandingan dengan bakat baharu. Saya lebih tunduk pada orang muda seperti mereka ini.

“Saya lihat, ini satu peluang yang bagus bagi orang lama seperti saya untuk bekerja dengan anak-anak muda. Secara tak langsung, kami dapat menarik peminat daripada pelbagai peringkat usia,” ulasnya lagi

jamal abdillah
Jamal harap gandingannya dengan pelapis muda dapat menarik ramai peminat daripada generasi baharu

Jamal berkata demikian ketika majlis pelancaran Neraca yamg diadakan secara maya bersama Kmy, Luca dan pihak media.

Bercakap tentang pembikinan lagu, Neraca masih mengekalkan genre hip hop dengan gabungan muzik ghazal dan reggae.

Dedah Jamal, proses pembikinan video muzik dilakukan dengan keadaan yang santai dan sangat mudah mengikut apa yang telah dirancang lebih awal.

“Proses penggambaran video muzik berjalan dengan santai dan tidaklah terlalu sukar kerana jalan ceritanya penuh erti yang tersurat selain mesej yang nak kami sampaikan itu agak kuat.

“Ia berkisar mengenai perjalanan manusia dalam menempuh peredaran masa sebagai manusia biasa. Banyak sebenarnya mesej yang bagus sekaligus membuatkan lagu ini sangat bererti buat saya selaku penyanyi era lama.

“Harapan saya untuk lagu ini sangat tinggi dan semoga ia diterima oleh pendengar muzik terkini, terdahulu dan ketika zaman saya kerana lagu ini menggabungkan dua generasi.

“Melodi dan muzik lagu ini agak unik termasuklah rap yang disampaikan sangat bermakna dan kena hayati dan fahami. Inilah peluang saya sebagai artis veteran untuk terus kekal relevan dalam muzik arus perdana,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Luca atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin berkata, dari awal lagi mereka sudah membayangkan figura Datuk Jamal Abdillah bagi menyanyikan lagu itu.

“Awalnya, muzik lain. Tapi, selepas Dato’ Jamal memberikan persetujuan kami terus tukar dan masukkan elemen ghazal. Kami berasakan muzik tradisional ini tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu walaupun ia dipersembahkan dalam versi moden. Kalau peminat lama mendengar lagu ini pun, mereka tetap akan mengenali muzik ini.

“Ketika Kmy buat rakaman demo lagu ini dia menyanyi ala suara Jamal. Malah, dari awal lagi memang sudah pasang niat alangkah menarik jika dia dapat menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah, rezeki kami dan dia bersetuju.

“Sepanjang proses rakaman, dia sangat mengalu-alukan kami. Kami menjangkakan dia seorang legenda yang ‘diva’, tapi dengan kami, dia okey. Tidak ada langsung rasa kekok, sebaliknya dia sangat mudah bekerjasama, profesional dan merendah diri. Sikap yang ditunjukkan itu tidak membuatkan kami rasa takut dan segan,” ujarnya.

Neraca memaparkan mesej yang sarat tentang ketuhanan dan realiti kehidupan masa kini

Menurut Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, lagu Neraca diperam selama dua tahun dan menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.

“Melodi lagu Neraca ini sudah siap sejak 2018 lagi. Selepas itu kami simpan sebab tunggu masa sesuai untuk disiap dan dilancarkan. Alhamdulillah, pertengahan tahun lalu, kebetulan Datuk Jamal ada kerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

“Bagi kami, lagu Neraca ini adalah kesinambungan mesej lagu Zuhud. Jadi dalam lagu ini ia merangkumi keseluruhan dan seimbangkan mengenai kehidupan yang berlaku sekarang. Apatah lagi dalam zaman media sosial, gejala sosial semakin menjadi-jadi.

“Faktor terbuka dijadikan alasan untuk buat masalah. Disebabkan itu, dalam lirik lagu ini kami menyenyuh soal ketuhanan. Malah, dalam video muzik pula mengenai manusia yang terikat dan suka leka dengan apa yang ada di atas muka bumi.

“Cuma apa boleh dikatakan, muzik lagu ini berat dari Zuhud. Apa pun ikut selera pendengar juga. Mungkin ada yang suka dan sebaliknya,” tuturnya.

kmy kmo
Duo rapper ini bakal berkolaborasi dengan penyanyi baharu

Lagu Neraca sudah dilancarkan secara rasmi bermula hari ini di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer dan KKBOX.

Manakala video muziknya boleh ditonton di saluran Yotube Universal Music Malaysia mulai pukul 9 malam ini.