jamal abdillah

BAHARU 24 jam dimuat naik di saluran Youtube, single Neraca dendangan Kmy Kmo dan Luca Sickta yang menampilkan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah telah mencatatkan sejumlah 100 ribu tontonan!

Neraca merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Kmy dan Luca Ia merupakan kesinambungan daripada lagu Zuhud yang dinyanyikan bersama Datuk M. Nasir, dua tahun lalu.

Ini adalah kolaborasi pertama Jamal bersama duo rapper yang merupakan anak didik penyanyi rap legenda, Malique Ibrahim.

Menurut Jamal atau nama penuhnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, garapan lirik yang menyentuh jiwa selain mesej dalam lagu yang sangat bermakna antara faktor mengapa dia bersetuju untuk bekerjasama dengan Kmy dan Luca.

“Saya suka dan terharu pada semantik lagu ini kerana saya adalah dalam kalangan orang yang lalai daripada rutin harian hingga lupa apa yang seharusnya kita dahulukan.

“Jadi, sedikit sebanyak kejahilan saya ini dapatlah membantu untuk mengingatkan orang lain tentang rutin yang perlu kita berikan keutamaan daripada hal lain melalui Neraca… alhamdulillah,” katanya.

Biarpun bergelar penyanyi ‘senior’, namun Jamal sedikitpun tidak pernah meletakkan kelasnya pada aras tertinggi. Malah, dia tidak melihat jika artis lama sepertinya akan menimbulkan isu apabila bergandingan dengan penyanyi muda.

“Kerja dengan anak muda memang seronok dan mereka berdua sangat berbakat. Bila saya masuk studio rakaman, saya letakkan diri saya di bawah.

“Saya tak kisah kalau orang kata penyanyi legenda bergandingan dengan bakat baharu. Saya lebih tunduk pada orang muda seperti mereka ini.

“Saya lihat, ini satu peluang yang bagus bagi orang lama seperti saya untuk bekerja dengan anak-anak muda. Secara tak langsung, kami dapat menarik peminat daripada pelbagai peringkat usia,” tuturnya.

Neraca menekankan dua penceritaan iaitu mesej positif tentang ketuhanan dan gejala sosial yang sedang berlaku pada generasi hari ini.

Pada anda yang belum menonton video muzik Neraca, jom tonton dan hayati lirik yang disampaikan sambil berhibur!

Selain itu, Neraca juga boleh dimuat naik di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer dan KKBOX.