SEKUAT mana pun seorang ibu bekerja, namun di dalam hatinya pasti tetap memikirkan anak yang ditinggalkan di rumah.

Begitulah yang sedang dialami oleh pelakon Nur Fazura saat kakinya melangkah keluar dari pintu rumahnya meskipun hanya untuk beberapa jam, kerinduan terhadap Nur Fatima Aisya pasti akan datang menjelma.

Walaupun mengakui dirinya seorang wanita bekerjaya, namun hatinya cukup berat untuk pergi bekerja sejak bergelar ibu.

“Saya selalu ditanya sama ada berasa rindu untuk berada di set, jawapanya sentiasa ya kerana orang yang kenal saya, mereka tahu betapa saya suka bekerja dan menjadi seorang pelakon adalah minat nombor satu saya.

“Tetapi sekarang saya bergelar ibu, rasa berat nak tinggalkan anak berjam-jam sehari.

“Macam mana saya nak atasi perkara ini? Perlukan nasihat daripada ibu-ibu yang rajin bekerja di luar sana,” kata Fazura.

Fazura memuat naik perkongsiannya itu di laman sosial Instagram yang turut mendapat perhatian daripada penyanyi Liza Hanim di ruangan komen.

Menurut Liza merupakan ibu kepada lima cahaya mata itu, Fazura sedang mengalami perasaan takut untuk berpisah atau separation anxiety.

“Ini dikatakan separation anxiety dan ia perkara normal. Hari pertama saya bekerja selepas tiga bulan berpantang, saya menangis! Ini masa anak kelima.

“Tapi,awak akan biasa dengan keadaan itu sebab kita bekerja untuk anak-anak juga.

“Gunakan masa awak sekarang untuk mencari penjaga yang terbaik dan boleh dipercayai.

“Untuk tempoh beberapa bulan dulu, saya pernah upah seorang penjaga sementara, jadi bayi saya boleh ikut saya pergi ke lokasi bekerja sebab masih menyusu badan.

“Tetapi sekarang, tempat paling selamat ialah di rumah… harap ini dapat membantu,” tulis Liza.

Fazura dilihat turut membalas komen tersebut dan memberitahu tetap berasa gementar untk kembali bekerja walaupun puteri sulungnya itu kini sudah berusia empat bulan.

Fazura mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fattah Amin pada November 2017 dan mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi