Siapa Zahid maksudkan ‘rakan lama’?

0
113


Spekulasi dan persepsi tidak boleh dipisahkan dengan dunia politik. Sebab itulah orang politik kena hati-hati, jangan sampai kata-kata atau tindakan mereka boleh wujud dua perkara tersebut.

Begitulah juga apabila Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi malam tadi bercakap soal ‘’jangan ada sekelumit pun rasa amarah kepada rakan lama, kita harus bergerak di hadapan daripada sekarang, masih terlalu jauh perjalanan kita.’’

Kata Presiden UMNO itu lagi, ‘’UMNO juga menunjukkan kesungguhan untuk terus menjalin kerjasama dengan semua parti. Tidak semua parti dapat menerima falsafah ini, namun keberadaan di persada politik tanah air tentulah berpijak kepada realiti.’’

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan secara maya sempena ulang tahun UMNO Sabah.

Dalam keadaan UMNO dikatakan sudah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan pada sama masa dikatakan sedang hadapi masalah berhubung soal pembahagian kerusi dengan Pas, maka wujudlah persepsi dan tercetuslah spekulasi berhubung kenyataan Ahmad Zahid.

Apabila Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menggunakan istilah ‘rakan lama’ dan kalau lihat senario kedudukan UMNO sekarang – ‘rakan lama’ tu boleh merujuk kepada tiga kelompok iaitu:

Pertama, adakah ‘rakan lama’ itu merujuk kepada pemimpin-pempin Bersatu? Sebab bila sebut soal amarah memang ramai pemimpin dan ahli UMNO marah kepada Bersatu. Pemimpin dan ahli Bersatu adalah ‘rakan lama’ ketika mereka bersama-sama dalam UMNO.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dulu adalah Timbalan Presiden UMNO sebelum dipecat kerana membangkitkan isu 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun banyak tindakan Bersatu menimbulkan amarah kepada UMNO sehingga UMNO membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15. Jadi kalau Ahmad Zahid kata, ‘’ jangan ada sekelumitpun rasa marah kepada rakan lama’’ – adakah itu bermaksud UMNO bersedia berbaik-baik dengan Bersatu bagi menghadapi PRU-15.

Kedua, adakah ‘rakan lama’ itu merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad yang baru-baru ini menyatakan bersedia kembali ke dalam UMNO jika parti itu kembali dasar perjuangan asalnya demi agama,bangsa dan negara?

Amarah kepada ‘rakan lama’ ini agak susah untuk dipadam, walaupun sekelumit, sebab ‘rakan lama’ inilah yang menjadi punca hilang kuasa selepas memerintah selama 61 tahun. ‘Rakan lama’ inilah juga dikatakan menyebabkan UMNO mempunyai empat parti serpihan – S46,PKR,Bersatu dan Pejuang.

Ketiga, adakah ‘rakan lama’ itu merujuk kepada PKR khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini heboh dakwaan, Ahmad Zahid mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson untuk menjadi Perdana Menteri?

Ada yang kata ‘rakan lama’ ini yang paling boleh UMNO bersikap ‘jangan ada sekelumitpun amarah’. Selain hubungan ‘rakan lama’ antara Ahmad Zahid dan Anwar ketika Ahmad Zahid menjadi Ketua Pemuda UMNO manakala Anwar menduduki jawatan Timbalan Presiden UMNO, senario hubungan antara UMNO dengan Bersatu dan Pas ketika ini juga boleh mendorong sikap itu.

Ia memandangkan jika UMNO kekal dengan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan pada masa sama Pas pula akan bersama dengan Bersatu, maka UMNO kena cari ‘rakan lama’ untuk menubuhkan kerajaan jika menang banyak kerusi dalam PRU-15.

Menang banyak bukan bererti UMNO boleh tubuh kerajaan sebab BN hanya bergantung kepada UMNO. Peluang MCA dan MIC untuk menang banyak kerusi seperti dulu-dulu dah ibarat ‘cahaya kat hujung terowongpun’ belum tentu ada. Parti-parti di Sarawak pula dah keluar BN. Dan mereka pun tak akan bersama jika ada DAP.

Bagaimana dengan DAP? DAP parti yang paling strategik, mereka rela berkorban dan menerima UMNO asalkan ia boleh memberi keuntungan politik kepada mereka. Lagipun ada dalam kalangan orang UMNO kata, kalau Pas dulu boleh kerjasama dengan DAP tak kan UMNO tak boleh?

Turut jadi perhatian ialah istilah ‘menjalin kerjasama dengan semua parti’ yang disebut oleh Ahmad Zahid dan beliau jugha menegaskan, ‘’Tidak semua parti dapat menerima falsafah ini, namun keberadaan di persada politik tanah air tentulah berpijak kepada realiti’’.

Kalau semua parti adakah ia maksud termasuk parti-parti dalam Pakatan Harapan PKR, DAP, Amanah, selain Warisan, Pejuang dan Muda. Tapi Warisan hanya kuat di Sabah, Pejuang tak tahu lagi macam mana kekuatan, Muda pula tak nampak apa-apa lagi.

PKR dipimpin ‘rakan lama’ Ahmad Zahid, DAP ‘musuh lama’ yang mungkin boleh dijadikan ‘rakan baru’ sebab mereka bersama dengan PKR, Amanah pula juga boleh diharap walaupun dalam PRU-15 nanti mungkin menang tak lebih daripada lima kerusi.

Tetapi kalau berpandu ayat Ahmad Zahid, ‘’keberadaan di persada politik tanah air tentulah berpijak kepada realiti’’, segalanya berkemungkinan kerana dalam politik tiada yang mustahil.

Sebenarnya kita tidak tahu apa yang tersirat di sebalik istilah ‘rakan lama’ yang digunakan oleh Ahmad Zahid.

Cuma orang bertanya bagaimana kalau ada ‘rakan lama’ yang gugat kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, adakah Ahmad Zahid akan berkata, ‘’jangan ada sekelumitpun amarah kepada ‘rakan lama’ ?

Begitu juga soal ‘menjalin kerjasama dengan semua parti’. Bagaimana nanti kalau betul-betul berlaku kerjasama itu, UMNO tidak diberi jawatan TPM atau kementerian penting dan mereka yang ada ke mahkamah tidak boleh dilantik ke dalam Kabinet, apakah kita akan dengar lagi ayat ‘jangan ada sekelumit amarah kepada ‘rakan lama’ dan ‘rakan baru’?

Tanya aje jangan marah walaupun soalan ini juga boleh wujudkan persepi dan spekulasi.