Sebahagian petugas JPJ Johor yang ditahan berkait ketirisan hasil cukai jalan. Gambar media sosial SPRM/Bernama

Tiga hari lalu, berlangsung pertemuan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Hasilnya, SPRM dan JPJ membongkar penyelewengan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi lebih 1,000 jenis kenderaan, membabitkan kerugian RM3.1 juta.

Berikutan itu, tujuh orang petugas kaunter JPJ Johor hari ini bagi membantu siasatan.

Memetik laporan BH Online, sumber berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan lima kakitangan lelaki dan dua wanita.

Kesemuanya berusia antara 27 hingga 42 tahun yang dipercayai bertugas di JPJ Johor Bahru.

“Mereka dipercayai memanipulasi sistem transaksi dalam talian MySIKAP bagi urusan cukai jalan LKM dengan jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Azam Baki yang kini berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor mengesahkan tangkapan berkenaan dan kesemua suspek akan direman esok.

Katanya, siasatan dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Siasatan ini bermula hasil makluman dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

“SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ supaya langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan bagi mengelak kegiatan rasuah ini berulang khususnya ia menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

“Perkara ini dibincangkan dengan Ketua Pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan, sekali gus menutup ruang serta peluang rasuah,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM

Susulan itu, Azam meminta mana-mana pihak atau agensi memberi maklumat kepada SPRM seperti dilakukan pihak Ketua Pengarah JPJ ini.

“Masyarakat yang berurusan di kaunter jabatan perlu bersikap ambil peduli dan sentiasa memeriksa resit selepas melakukan urusan di kaunter atau pun ejen dilantik,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.