Bacalah, dengan nama Tuhanmu

0
15
Bacalah dengan nama Tuhanmu

Bismillaahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Pastinya kita biasa membaca ayat ini, terutama apabila ingin memulakan bacaan al-Quran. Lafaz basmalah bukanlah asing bagi kita umat Islam, bahkan ia merupakan ayat pertama dalam surah al-Fatihah. Bermakna lafaz ini juga adalah ayat pertama sekali dari 6236 ayat dalam al-Quranul Karim.

Walaupun begitu, ia bukanlah bermakna Basmalah, ayat pertama yang diturunkan Allah s.w.t, kerana ayat pertama yang diajarkan Jibril a.s kepada Baginda s.a.w di gua Hira’ adalah ayat dari surah al-A’laq.

Sejarah Basmalah

Dikatakan, pada suatu hari Ratu Balqis sedang berehat di kamar beradunya. Ketika sedang berbaring, tiba-tiba muncul seekor burung belatuk membawa sepucuk surat dan dijatuhkan di atas riba ratu Balkis.

Apabila dibuka surat tersebut, rupanya ia datang dari nabi Sulaiman a.s. yang berbunyi, “Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, janganlah kamu meninggi diri terhadapku. Datanglah menyerah diri kepadaku dengan beriman kepada Allah S.W.T.

Kisah yang lain dari imam Syabi’ mengatakan,  terdapat empat peringkat sebelum basmalah dapat dibaca dengan lengkap:

  • Peringkat pertama Nabi s.a.w membaca dengan “Bismikallahumma
  • Peringkat kedua Nabi s.a.w membaca dengan “ Bismillah” setelah turunnya surah Hud: 41, “Wa Qaalar Kubuu Fiihaa Bismillahi Majreeha
  • Peringkat ketiga Nabi s.a.w membaca “Bismillaahir Rahmaan” setelah turunnya surah al-Isra’: 110,  “Qulid u’llaha awid u’rrahmaan
  • Peringkat terakhir barulah lengkap bacaan “Bismillahir Rahmaanir Rahiim” setelah turunnya surah an-Naml ayat 30, “Innahuu Min Sulaimaana Wa Innahuu Bismillahir Rahmaanir Rahiim

At-Taubah Tanpa Basmalah

Jika kita lihat, dalam setiap surah mengandungi bacaan basmalah di awalnya. Namun tidak terjadi pada surah at-Taubah. Menurut Abdullah bin Abbas, surah at-Taubah diturunkan saat berlakunya peperangan antara kaum Muslimin dengan musyrikin Mekah dalam peperangan Tabuk.

Surah at-Taubah turun saat berkecamuk perang. Kerana itu tiada bacaan basmalah di permulaan surah.

Dengan suasana peperangan, serta isi kandungan surah at-Taubah yang banyak mempunyai ayat-ayat kecaman dan sanggahan, terhadap sikap orang-orang munafik dan kafir,maka tiada rahmat diturunkan bagi mereka.

Sebaliknya, lafaz basmalah itu mengandungi maksud keamanan, kedamaian, kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t. Justeru, ia bertentangan dengan inti pati surah at-Taubah.

Hukum Basmalah

Membaca Basmalah ketika memulakan bacaan al-Quran adalah harus berdasarkan pandangan ulama Qurra kecuali pada surah at-Taubah. Ini bermakna apabila ingin membaca surah at-Taubah, hanya perlu dimulakan dengan bacaan istia’zah sahaja, dan seterusnya disambung dengan bacaan surah.

Bagaimanapun, apabila dibaca dalam solat, terdapat beberapa khilaf dari ulama iaitu:

  • Pendapat pertama mengatakan tidak wajib dibaca mengiringi bacaan al-Fatihah dan solat tetap sah sekalipun tidak dibaca. Bahkan makruh hukumnya jika dibaca (pendapat ini tidak mempunyai dalil yang kuat).
  • Pendapat kedua menyatakan ia adalah salah satu ayat dari surah al-Fatihah. Membacanya, wajib. Jika ditinggalkan tidak sah solat. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh an-Nasa’i, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban, “Aku bersolat di belakang Abu Hurairah dan dia membaca, “Bismillahir Rahmaanir Rahiim” kemudian dia membaca Ummul Quran”. Di akhir hadis ini Abu Hurairah turut menyatakan, “Dan demi nyawa ku di tangannya, sesungguhnya aku menyerupakan kepada kamu solat Rasulullah s.a.w.
  • Pandangan ketiga mengatakan, bacaan basmalah mengiringi al-Fatihah adalah harus, bahkan disunatkan. Solat tetap sah jika tidak membacanya, dan dibaca dengan senyap berdasarkan pada hadis dari Anas bin Malik r.a katanya, “Aku bersolat di belakang Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, Umar dan Usman. Sesungguhnya mereka semua tidak membaca basmalah dengan terang.” HR Muslim
  • Kesimpulannya, Rasulullah s.a.w kadang-kadang membacanya dengan kuat dan kadang-kadang secara perlahan.

Membaca basmalah digalakkan dalam memulakan sesuatu perkara demi mendapatkan barakah dan reda Allah S.W.T. Ini kerana lafaz basmalah, adalah zikir dan pujian sebagai tanda mengagungkan kekuasaan Allah S.W.T. dan memohon pertolongan. Selain itu, merupakan lafaz keizinan supaya segala perkara diberkati Allah.  

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram