Seramai 110,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan kenderaan e-hailing sepenuh masa menerima bantuan RM500 bermula hari ini. - Abd. Razak Aid

SERAMAI 110,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan kenderaan e-hailing sepenuh masa seluruh negara yang dijanjikan bantuan kewangan menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) telah mula menerima bantuan berkenaan bermula hari ini. 

Bantuan bersifat one-off sebanyak RM500 itu melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM55 juta adalah untuk meringankan beban dihadapi golongan tersebut. 

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan memberitahu, seramai 20,000 pemandu teksi dan kereta sewa menerima bantuan itu hari ini yang dikreditkan terus ke dalam akaun pemandu-pemandu terlibat. 

Beliau berkata, baki seramai 15,000 lagi akan mula menerima bantuan berkenaan secara berperingkat selewat-lewatnya 15 Mac depan. 

“Baki 75,000 penerima termasuk pemandu e-hailing, bas sekolah dan bas persiaran akan mula menerima bantuan secara berperingkat mulai 26 Februari 2021,” jelas beliau dalam kenyataan itu. 

Baca Artikel Berkaitan: Mana bantuan khas pemandu e-hailing?

Pemandu teksi, e-hailing, bas dapat RM500

Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Permai bernilai RM15 bilion yang mengandungi 22 inisiatif berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. 

Antara inisiatif bagi pemain industri pengangkutan termasuk bantuan one-off yang memanfaatkan pemandu pelancong, pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing. 

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berharap bantuan berkenaan dapat membantu golongan terlibat sementara Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan. 

“PICK tentunya melambangkan titik permulaan bagi pemulihan sektor pelancongan dan sektor-sektor lain yang amat terkesan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram