Duka kehilangan nenek tersayang, Eemrun luah rasa dalam Emosi

0
30
eemrun

SEAWAL di bangku sekolah lagi, penyanyi yang mahu dikenali sebagai Eemrun,17, sudah mula belajar dan mengenal pelbagai genre muzik antarabangsa termasuk muzik underground.

Ketika berusia 13 tahun, dia sudah mula mencipta lagu dan menulis lirik. Walaupun bergerak secara underground, Eemrun atau nama sebenarnya Muhammad Imran Daniel Mohammad Salahuddin tetap berasa puas.

Dua tahun kemudian, Eemrun melangkah setapak lagi apabila mula menerbitkan lagu yang dimuat naik di saluran Youtube.

Yakin dengan apa yang diperjuangkan, Eemrun memberanikan diri melangkah pula ke pasaran muzik tempatan secara komersial dengan mempertaruhkan single Emosi.

Lagu hasil ciptaannya itu mendapat sentuhan penerbit Efry Arwis yang dihasilkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, idea dan melodi lagu itu datang secara tiba-tiba pada pukul 3 pagi tatkala dirinya bergelut dengan emosi selepas kematian nenek tercinta.

“Lagu ini mempunyai mesej yang sangat mendalam. Ketika itu saya berasakan diri kosong dan tidak mempunyai emosi selepas kematian nenek. Saya hilang tempat mengadu. Apa saya lalui dan rasa, saya terjemahkan dalam lagu ini.

“Apabila pendengar mendengar lagu ini, mungkin mereka boleh kaitkan dengan cinta atau ketika kehilangan seseorang. Apa yang penting, saya mahu mereka faham maksud tersirat pada setiap bait lirik lagu ini.

“Bagi saya, lagu Emosi kena dengan cita rasa orang kita yang mana mereka boleh terima melodi yang dipersembahkan dalam lagu ini. Kalau mereka mendengar pasti dapat rasa dan boleh dijadikan terapi,” katanya.

eemrun
Eemrun luah rasa rindu terhadap nenek tercinta dalam single Emosi

Berkongsi mengenai langkahnya dalam pasaran muzik komersial, Eemrun berkata ia satu lagi percubaan baharu dalam hidupnya seperti mana ketika terbabit dalam muzik underground.

“Sebelum ini saya artis underground saja. Saya buat lagu dan muat naik di YouTube. Selepas menghasilkan 20 lagu, kiranya lagu Emosi ini adalah yang pertama menjengah pasaran komersial. Semua lagu dihasil dan disiapkan sendiri di rumah.

“Apabila melangkah secara rasmi dalam pasaran muzik komersial, saya anggap ini adalah perkara baharu yang saya perlu cuba. Sama seperti underground dulu. Cuma, apa boleh dikatakan kali ini saya nak ‘upgrade’ diri. Dalam masa sama, saya percaya dengan hasil kerja, sebab itu nak masuk secara komersial,” katanya.

Menjadikan pemuzik underground di Amerika Syarikat, Linkin Park dan ramai lagi sebagai rujukan muziknya, Eemrun berkata dia tetap tidak melupakan pemuzik tempatan.

Malah, lagu-lagu daripada kumpulan Hujan, Bunkface dan YonnyBoi antara yang menjadi perhatiannya.

Lagu Emosi kini sudah tersedia di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox. Manakala video muziknya pula sudah mula ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia.